KUALA LUMPUR: Purata harga jualan gas asli untuk diguna pakai bagi Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd (GMES) bagi Semenanjung Malaysia untuk suku ketiga dari 1 Julai 2021 hingga 30 September 2021, ditetapkan pada RM30.03 setiap sejuta unit terma British (MMBtu).
Purata harga jualan gas asli itu termasuk tarif pengangkutan sebanyak RM1.19 setiap MMBtu, pelepasan kos gas sebanyak 62 sen setiap MMBtu dan tarif pengedaran sebanyak RM2.05 setiap MMBtu seperti yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga sebelum ini, menurut Gas Malaysia Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
GMES adalah anak syarikat milik penuh Gas Malaysia.
“Gas Malaysia ingin menjelaskan bahawa semakan harga jualan ini tidak terpakai untuk jualan gas asli bagi kenderaan gas asli dan gas petroleum cecair yang dibekalkan dalam silinder gas atau secara pukal,” katanya.
“Semakan harga jualan ini akan terus menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021,” katanya.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




