COPA: Neymar bengang rakyat Brazil sokong Argentina

COPA: Neymar bengang rakyat Brazil sokong Argentina

RIO DE JANEIRO: Neymar membidas rakyat Brazil yang menyokong Argentina bagi memenangi saingan Copa America hanya disebabkan meminati Lionel Messi.

Penyokong Brazil dikatakan kurang berminat pada kejohanan tahun ini disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara berkenaan selain pertukaran venue pada saat akhir yang menyaksikan Brazil menjadi tuan rumah selepas Argentina dan Colombia menarik diri.

Wartawan sukan SportTV dari Brazil, Fabiola Andrade antara peminat yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Argentina menjelang aksi final, pagi esok waktu Malaysia.

“Sebelum mengkritik saya, biar saya jelaskan. Saya sayang Brazil…saya mempunyai beberapa rakan dari Argentina. Namun, saya bukan menyokong Argentina pada final Copa America disebabkan mereka, tidak.

“Saya menyokong Argentina kerana meminati bola sepak dan @leomessi. Pemain ini perlu memenangi kejuaraan bersama negaranya! Demi keadilan!,” katanya di laman Instagram.

Selepas Brazil menewaskan Peru 1-0 dalam aksi separuh akhir, Neymar berkata dia mahu berdepan Argentina di final dan bermain menentang bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Messi.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu yang terlepas kejayaan Brazil menjuarai Copa America pada 2019 susulan masalah kecederaan mengakui terkejut kerana ada rakyat negara itu yang menyokong Argentina.

“Saya adalah rakyat Brazil dan bangga menjadi rakyat negara ini. Impian saya adalah untuk berada dalam pasukan Brazil dan mendengar peminat bersorak. Saya tidak menyerang Brazil tidak kira dalam apa acara sekalipun sukan, pertandingan ratu cantik, Oscar…saya adalah rakyat Brazil.

“Saya menghormatinya tetapi pergi…,” kata Neymar yang menggunakan perkataan kesat di hujung ayatnya.

– AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top