EURO: Southgate kutuk penyokong hina pemain

EURO: Southgate kutuk penyokong hina pemain

LONDON: Gareth Southgate mengutuk penghinaan berunsur perkauman yang disasarkan kepada tiga pemainnya yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada final Kejuaraan Eropah 2020, awal pagi tadi.

Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka menjadi mangsa penghinaan di Twitter dan Instagram selepas England tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley.

Ketika ada pihak yang dikenal pasti sebagai penyokong England menghina secara perkauman terhadap tiga pemain itu, mesej menyinggung lain turut disertakan dengan tanda pagar ‘forza italia.’

“Tindakan mereka (penyokong) menghina segelintir pemain, ia jelas tidak dapat dimaafkan,” kata Southgate.

“Ada yang datang dari luar tetapi kami dimaklumkan ada sebahagian dari negara ini.

“Kami menjadi harapan untuk menyatukan semua orang dan pasukan kebangsaan sentiasa menyokong semua orang.

“Kami merasai tenaga dan suasana positif daripada penyokong dan saya berbangga dengannya,” kata Southgate.

Pada masa sama, Southgate dijangka menandatangani kontrak baharu sebagai pengendali England sehingga Kejuaraan Eropah 2024.

Kontraknya ketika ini akan berakhir selepas Piala Dunia tahun depan.

Meskipun dia mengakui mahu terus kekal sehingga Piala Dunia, dia enggan mengulas sama ada akan menandatangani kontrak baharu ataupun tidak.

“Saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk berfikir mengenainya. Kita perlu layak ke Qatar dan saya perlukan masa untuk menilai persembahan Kejuaraan Eropah 2020. Saya perlukan rehat.

“Saya tidak mahu komited untuk tempoh yang lebih panjang daripada sepatutnya. Ia bukanlah kerana kewangan tetapi saya di sini, saya mahu membawa mereka ke Qatar,” katanya. -AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top