Guna tabung khairat masjid bantu ahli kariah terjejas

Guna tabung khairat masjid bantu ahli kariah terjejas

bhnews@bh.com.my

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meminta semua pengurusan jawatankuasa masjid memanfaatkan sumber kewangan daripada tabung khairat bagi membantu ahli kariah yang terjejas sepanjang tempoh kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata beberapa kaedah penyampaian sumbangan kepada golongan terbabit sudah disediakan pihaknya bagi memudahkan jawatankuasa masjid menyalurkan bantuan kepada kariah yang memerlukan.

Beliau berkata, garis panduan itu perlu dipatuhi bagi memastikan bantuan itu benar-benar diterima dan mencukupi kepada ahli kariah.

“Semua penyampaian bantuan yang dibenarkan adalah menerusi beberapa cara iaitu Konsep Serahan Mahabah dengan hanya petugas menyerahkan sendiri barangan keperluan ke rumah ahli kariah yang sudah dikenal pasti pada setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 3 hingga 6 petang,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, ia diikuti dengan Konsep Gerobok Rezeki dengan menyediakan tempat khas meletakkan barangan keperluan harian di masjid dan penerima boleh mengambil sendiri menemui petugas pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 3 hingga 6 petang selain boleh dilaksanakan melalui kaedah pandu lalu.

“Konsep ketiga adalah Kedai Mahabah dengan semua penerima boleh mengambil barangan di kedai runcit yang dilantik oleh pihak masjid. Masjid juga boleh menyediakan kupon khas bagi penerima mengemukakannya kepada pekedai untuk ditukarkan kepada barangan makanan.

“Justeru, adalah diharapkan institusi masjid dapat memanfaatkan sumber kewangan itu dengan melaksanakan aktiviti kebajikan kepada ahli kariah terutama pada musim mencabar ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top