saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Wujud pihak ketiga menawarkan khidmat ‘tarik masa’, iaitu melanjutkan tempoh bayaran pinjaman kepada ceti haram atau along.
Bunyinya menarik, namun tanpa disedari, peminjam berisiko terjebak dalam situasi ‘bayar tak pernah habis’, kerana caj berkenaan hanya melambatkan tempoh pembayaran bukannya melangsaikannya.
Perkara itu didedahkan Pengarah Biro Aduan dan Banteras Ceti Haram (Banteras) Panji Malaysia, Azman Kang yang menerima aduan mengenai perkara itu yang disifatkannya sebagai satu lagi helah licik beberapa pihak yang ‘buat duit’ dari kesengsaraan peminjam.
Katanya dalam kes terbaru minggu lalu, pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa yang ditawarkan RM1,000 untuk memanjangkan tempoh tuntutan along selama 14 hari.
Katanya, mangsa yang bekerja sendiri termakan umpan individu yang berjanji boleh membantu membuat rundingan dengan along.
“Bila habis tempoh dua minggu yang dijanjikan, mangsa tetap perlu bayar pinjaman itu dan sekali lagi akan berdepan masalah, duit tak cukup dan perlukan perlindungan lagi.
“Kebanyakan mereka yang membuat tawaran seperti ini tahu mangsa terdesak dan ingin segera keluar dari kemelut kewangan.
“Jadi mereka berikan penyelesaian sementara yang tanpa disedari menambahkan beban peminjam,” katanya.
Azman berkata, kadar yang ditetapkan itu bergantung kepada jumlah pinjaman atau tuntutan along.
“Lagi besar nilai pinjaman, lagi tinggi caj yang dikenakan untuk melanjutkan tempoh pembayaran.
“Sudahlah mangsa diperah along, ditipu pula oleh mereka yang buat duit dengan cara mudah sebegini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

