Ahli perniagaan Singapura didakwa biaya pengganas di Syria

Ahli perniagaan Singapura didakwa biaya pengganas di Syria

SINGAPURA: Seorang ahli perniagaan Singapura didakwa di Mahkamah Rendah atas tuduhan membantu membiayai serangan pengganas di Syria.

Mohamed Kazali Salleh, 50, yang berkepala botak, didakwa melalui pautan sidang video dengan tiga tuduhan membiayai kegiatan pengganas, yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Kazali berhasrat untuk mengaku bersalah dan mendapatkan peguamnya sendiri. Dia kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepadanya kerana ia akan memudaratkan keamanan Singapura dan langkah khas sudah diatur bagi penahanan remannya.

Mahkamah memutuskan tidak memberikan jaminan dan kes Kazali akan didengar pada 11 Ogos ini.

Menurut dokumen mahkamah, melalui tiga kejadian antara Disember 2013 dan awal 2014, Kazali didakwa memberikan wang kepada Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin bagi tujuan digunakan untuk memudahkan tindakan pengganas di Syria.

Dia dituduh menyerahkan wang sebanyak RM1,000 kepada Wan Mohd Aquil di terminal bas di Johor Bahru.

Dalam kejadian lain, Kazali didakwa mengirim wang AS$351.75 (RM1,489) dan RM500 melalui Western Union di Singapura dan di Malaysia.

Di bawah Akta Keganasan (Akta Penindasan dan Pembiayaan), yang diperkenalkan pada 2002, Kazali menghadapi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda hingga $500,000 (RM1.54 juta) atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Dalam Negeri (MHA) berkata bahawa Kazali, yang berpusat di Malaysia, ditangkap oleh pegawai Cawangan Khas Malaysia pada Disember 2018.

Dia kemudian dihantar pulang ke Singapura, yang mengeluarkan Perintah Penahanan di bawah ISA pada Januari 2019, atas sokongannya terhadap Daesh.

“Dia adalah sekutu rapat militan Daesh yang berpangkalan di Syria, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, juga dikenali sebagai Akel Zainal, yang dipercayai pejuang paling kanan di Syria sebelum kematiannya pada Mac 2019,” kata MHA.

Akel, yang juga anggota kumpulan rock Malaysia, Ukays, sekitar 1990-an, dilaporkan mengarahkan dua penyokong Daesh di Malaysia untuk menyerang tempat ibadat dan balai polis di Malaysia pada 2019.

Rancangan itu gagal kerana penyokong berkenaan ditangkap pada November 2018.

MHA berkata, jika bersabit kesalahan, Perintah Penahanan terhadap Kazali akan dibatalkan dan dia akan dijatuhkan hukuman mengikut penghakiman mahkamah.

Katanya, sekiranya Kazali dikenakan hukuman penjara, dia akan ditahan secara terpisah dan terus menjalani pemulihan untuk mencegahnya daripada menyebarkan idea radikal kepada tahanan lain.

Pada akhir hukumannya, penilaian akan dibuat untuk menentukan sama ada dia berjaya dipulihkan atau masih menjadi ancaman kepada masyarakat.

“Sekiranya dia masih menjadi ancaman, dia mungkin akan ditahan lebih lama lagi di bawah ISA,” kata MHA. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top