SILVERSTONE: Max Verstappen jelas berada dalam kesakitan sebelum mengeluarkan kata-kata kesat selepas mengalami kemalangan dengan Lewis Hamilton di pusingan pertama Grand Prix (GP) British, kelmarin.
Pendahulu kejuaraan itu tidak bertahan lama di Silverstone apabila kemalangan dengan seterunya itu yang menyaksikan pelumba Britain berkenaan berjaya meraih kemenangan.
Verstappen dikejarkan ke hospital selepas pemeriksaan dilakukan dan rakaman audio daripada radio pasukan Red Bull memberikan gambaran lebih jelas terhadap kesakitan yang dialami pelumba Belanda itu.
Menerusi klip audio pendek selepas kemalangan itu, ahli pasukan Red Bull bertanya “Adakah awak okay Max?’
Selepas audio terbabit dipotong, Verstappen didengar mendengus kesakitan sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.
Kedua-dua pelumba itu bagaimanapun menyalahkan sesama sendiri selepas insiden terbabit dengan Hamilton menerima penalti 10 saat daripada petugas perlumbaan.
“Nasib baik saya OK,” ciap Verstappen.
‘Sangat kecewa apabila tersingkir seperti ini. Penalti itu tidak membantu dan tidak adil dengan tindakan bahaya yang dilakukan Lewis di atas litar.
“Melihat keraian mereka ketika berada di dalam hospital sangat tidak menghormati dan tiada semangat kesukanan tetapi kita perlu lupakan,” katanya.
Selepas itu, Verstappen sekali lagi menciap ‘keluar daripada hospital selepas pemeriksaan berjalan dengan baik. Terima kasih semua untuk mesej yang diberikan.” -Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd




