KUALA LUMPUR: Seorang wanita China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh rakan wanita senegara di sebuah restoran, dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, bekas pelayan restoran itu, Yang Yahong, 36, didakwa telah membunuh juruwang restoran sama, Zhang Wei, 34, dengan menikam mangsa beberapa kali di sebuah restoran stimbot di pusat beli-belah di Cheras di sini pada pukul 4.30 petang, 29 November 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin kemudian menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia selepas ditikam beberapa kali pada bahagian badan dengan pisau. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dengan ambulans ke hospital.
Hasil bedah siasat menunjukkan, kematian mangsa berpunca daripada kecederaan pada paru-paru kiri dan pendarahan akibat beberapa kesan tikaman. – UTUSAN




