Polis tunggu keputusan makmal kenal pasti punca kematian Izzati

Polis tunggu keputusan makmal kenal pasti punca kematian Izzati

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis masih menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca kematian Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan meninggal dunia selepas tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor, 23 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, keputusan bedah siasat setakat ini diklasifikasikan sebagai ‘analisis makmal belum selesai’.

“Setakat ini, siasatan kes ini masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses siasatan masih berjalan.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia dan doktor pakar Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Nur Izzati Humaira, 19, ditemukan meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat di Bukit Changkat Asa.

Mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada 11.58 pagi. Remaja itu dipercayai tersesat ketika menuruni bukit bersama ahli keluarganya pada 10.50 pagi, 23 Mei.

Mangsa dikatakan berjalan bersendirian untuk tiba lebih awal di kaki bukit kerana berasa panas dan penat sebelum dilaporkan hilang.

SAR selama empat hari itu membabitkan 114 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung dan sukarelawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top