bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Laman sesawang Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu 2.0 menunjukkan keberkesanannya memberi maklumat tepat dan terkini kepada umum.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata laman sesawang itu menyediakan panduan kepada pesakit COVID-19 sekiranya dikuarantin di pusat itu.
“Pelbagai bentuk infografik dimuat naik dalam laman sesawang ini bagi memudahkan orang awam membuat rujukan sekiranya mereka bakal dikuarantin di sini.
“Orang ramai juga boleh mengajukan soalan atau permasalahan di dalam lawan web ini yang akan dijawab dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim.
Laman sesawang PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 iaitu www.pkrcmaeps.gov.my diaktifkan pada 1 Julai lalu dikawal selia petugas MAEPS Covid Centre KKM (MCCK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Laman sesawang itu sumbangan dan tajaan sepenuhnya oleh MYNIC Berhad, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan dibangunkan bersama Jabatan Penerangan Selangor.
MYNIC Berhad adalah agensi terbaru daripada 19 agensi pelaksana di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang dipimpin NADMA dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




