Nibong Tebal: Bayi lelaki pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafid Ahmad yang baru berusia 22 hari antara tiga maut dalam kemalangan awal pagi tadi.
Dua lagi yang maut dalam nahas jam 5.30 pagi di KM163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap itu ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Manakala, Muhammad Syafiq, 25, dan seorang lagi anak perempuannya, dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera ringan dan isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, dikatakan cedera parah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Pulau Pinang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 5.36 pagi.
“Ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian didapati kenderaan MPV itu berada dalam keadaan remuk teruk dan terdapat tiga daripada enam mangsa tersepit.
“Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. Tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi tamat jam 6.12 pagi,” katanya dalam kenyataan, di sini,hari ini.
Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mengucapkan salam takziah kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang terbabit dalam kemalangan tersebut.
Tunku Ismail yang juga pemilik JDT memuat naik ucapan berkenaan di akaun Facebook rasmi baginda yang memaparkan gambar jersi Syafiq bernombor 28 diiringi kata ‘Kami Sentiasa Bersamamu, Syafiq’.
ZA137 Malay News
National Desk