Mbappe rekod gol ke-100 bersama PSG

Perancis: Pemain muda berbakat, Kylian Mbappe menjaringkan gol ke-100 peribadi bersama Paris Saint-Germain (PSG) dalam kesemua pertandingan bagi membantu gergasi Ligue 1 itu merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Montpellier di Stade de la Mosson.

Dalam perlawanan itu, Colin Dagba meletakkan PSG mendahului pada minit ke-33 permainan.

Penyerang berusia 22 tahun, Stephy Mavididi kemudian mengikat kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Dalam separuh masa kedua, Moise Kean menerusi gerakan solo luar biasanya pada minit ke-77 berjaya menjaringkan gol kelima peribadi dalam tujuh penampilan liga musim ini.

Mbappe yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-78 mengesahkan kemenangan PSG dalam masa kecederaan dengan menjaringkan gol ke-100 peribadinya bersama pasukan itu.

“Ketika tiba disini saya tidak pernah terfikir untuk menjaringkan 100 gol dengan kadar yang cepat”, katanya.

PSG kini masih memimpin liga dengan kelebihan empat mata di hadapan Marseille yang berada di kedudukan kedua.

Akmal Hakim
Sports Desk