PRN N9: BN tubuh Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto di Negeri Sembilan

PRN N9: BN tubuh Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto di Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Seremban: Barisan Nasional (BN) menubuhkan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto bagi memastikan setiap komitmen yang dibuat dapat dipantau, dinilai dan dilaksanakan dengan baik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN bukan hanya mahu memberi komitmen tetapi juga bersedia dipertanggungjawabkan.

“Apa yang membezakan BN ialah kita bukan sahaja berani membuat komitmen tetapi juga bersedia dipertanggungjawabkan.

“Manifesto ini turut disokong dengan penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto supaya setiap komitmen dibuat dapat dipantau, dinilai dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Bagi kami, kejayaan sesebuah manifesto bukan diukur pada hari ia dilancarkan tetapi apabila rakyat dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Sendayan, di sini, malam ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir, kepimpinan BN dan Friends of BN, selain Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jalaluddin berkata, manifesto BN merangkumi pelbagai aspek penting yang menyentuh kehidupan rakyat di Negeri Sembilan.

“Ini termasuk usaha memperkukuhkan ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan taraf hidup, pendidikan serta pembangunan belia, wanita dan usahawan.

“Semuanya dirangka dengan satu matlamat iaitu memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa ada yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata, BN mengambil pendekatan teliti dalam menyediakan manifesto bagi pilihan raya kali ini.

“Kita tidak bermula dengan memikirkan apakah janji yang paling menarik untuk didengar.

“Sebaliknya, kita bermula dengan satu persoalan yang lebih penting iaitu apakah yang diperlukan oleh rakyat Negeri Sembilan.

“Manifesto ini bukan sekadar dokumen pilihan raya. Ia adalah komitmen yang akan menjadi panduan kepada pentadbiran negeri sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada kita,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap tawaran dalam manifesto itu dirangka secara realistik dengan berpaksikan kemampuan kerajaan dan keperluan sebenar rakyat.

“Kita tidak mahu menjanjikan sesuatu yang sukar dilaksanakan. Kita mahu menawarkan penyelesaian yang benar-benar boleh memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak perlu melihat terlalu jauh. Pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini sudah mengajar kita satu perkara yang cukup besar.

“Politik yang tidak stabil bukan sekadar menukar kerajaan tetapi memberi kesan kepada ekonomi, keyakinan pelabur, peluang pekerjaan dan kehidupan rakyat. Disebabkan itu, BN sentiasa memilih jalan yang sederhana, matang dan bertanggungjawab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top