bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil dengan inovasi terbaharu, serunding kobis bagi mengatasi masalah lambakan sayuran berkenaan yang dihadapi pekebun tanah tinggi Kundasang di Ranau, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Inovasi itu memenangi pingat emas Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Kebangsaan (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), baru-baru ini.
Ketua kumpulan penyelidik UMS, Dr Jurry Foo, berkata projek dinamakan Penyediaan dan Pemasaran Serunding Kobis itu adalah inisiatif membantu penduduk Ranau yang berdepan isu lambakan sayuran ketika PKP 1.0 sebelum ini.
“Pada ketika itu pergerakan terhad menyebabkan petani menghadapi cabaran untuk memasarkan sayuran ke pasaran luar daerah dan hanya mengharapkan pembeli dalam kalangan penduduk setempat.
“Kobis adalah sayuran paling terjejas menyebabkan petani dan peniaga terpaksa menanggung kerugian, selain berlaku pembaziran sayuran.
“Prihatin terhadap nasib komuniti setempat, UMS melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan melancarkan dana penyelidikan COVID-19 bagi membantu masyarakat,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Jurry berkata, kejayaan mengatasi masalah pekebun terbabit turut dibantu kumpulan penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta penyelidik dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP).
Beliau berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab mencadangkan beberapa idea untuk memproses kobis menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada dalam komuniti untuk meminimumkan pembaziran sayuran.
“Sementara menunggu tawaran dana penyelidikan dari UMS, saya mengadakan bengkel secara dalam talian mengenai cara memproses kobis dalam bentuk serunding dengan menginspirasikan kaedah menghasilkan serunding ‘tuhau’ iaitu produk makanan tempatan yang popular dalam kalangan masyarakat di Ranau.
“Pada peringkat permulaan, cadangan ini mendapat tentangan umum kerana ramai yang beranggapan kobis tidak sesuai dijadikan serunding.
“Namun sekumpulan komuniti perintis berjaya merealisasikan idea dan resipi penyelidikan UMS melalui bimbingan secara dalam talian,” katanya.
Jurry yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, berkata usaha itu berjaya mengubah kobis daripada makanan biasa, kepada makanan yang dinilai tambah supaya tahan lama menerusi penghasilan serunding.
Produk itu katanya kini dipasarkan secara dalam talian dan boleh didapati di pelantar e-Dagang seperti Shoppee dan Lazada, selain turut dijual di beberapa pasar raya di Sabah seperti Bataras dan Sabindo.
© New Straits Times Press (M) Bhd




