sukhairi@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri mengucapkan terima kasih kepada jurulatihnya, Christian Brooker selepas membantunya memperagakan terjunan cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dhabitah, 22, yang menamatkan saingan akhir 3 meter (m) papan anjal wanita individu di tempat keempat Ahad lalu berkata, masih banyak yang bakal ditempuh pada masa akan datang dan berharap kerjasama antara mereka dapat diteruskan.
“Tahniah buat kita berdua Christian,” tulis Dhabitah di akaun Instagram.
“Kita sudah berusaha dengan gigih bersama-sama. Terima kasih banyak. Banyak lagi yang bakal dilalui pada masa akan datang.
“Mari kita teruskan untuk terus menyokong antara satu sama lain dan berlatih dengan gigih bersama! Ia tampak sukar (sebelum ini) kerana kita terpisah jauh dengan yang tercinta untuk beberapa ketika tetapi saya bersyukur kita sentiasa menyokong antara satu sama lain.”
Brooker yang jurulatih dari Australia mula membimbing skuad kebangsaan sekitar 2018 dengan misinya ketika itu untuk mengembalikan kestabilan dan meningkatkan lagi kualiti pasukan terjun negara.
Pada saingan Ahad lalu, Nur Dhabitah meraih tempat keempat dengan 326.15 mata dan menjadi sohor dalam platform media sosial disebabkan senyuman yang sentiasa terukir sebelum setiap terjunan.
Pingat emas dimenangi juara bertahan dari China, Shi Tingmao yang mencatat 383.50 mata manakala rakan senegaranya, Wang Han meraih perak dengan kutipan mata 348.75.
Gangsa dimenangi penerjun Amerika Syarikat, Krysta Palmer yang mencatat 343.75 mata.
Pasukan terjun masih berbaki satu lagi acara di Pusat Akuatik Tokyo dengan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dijadual menyertai kelayakan 10m platform wanita individu, esok.
Hanya 18 daripada 30 penerjun bakal layak ke pusingan separuh akhir pada Khamis sebelum saingan beralih ke final pada hari yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd

