Bandar kedua jatuh ke tangan Taliban

Bandar kedua jatuh ke tangan Taliban

KABUL: Taliban kini menawan kubu kuat kerajaan Afghanistan, menjadikan ia bandar kedua yang jatuh ke tangan pemberontak itu dalam tempoh kurang 24 jam.

Timbalan Gabenor bandar Sheberghan di Jawzjan berkata, pasukan tentera termasuk pegawai kerajaan terpaksa berundur ke lapangan terbang di luar bandar itu untuk bertahan.

“Malangnya bandar itu kini ditawan sepenuhnya,” kata Qader Malia kepada AFP.

Bandar itu adalah kubu kuat bagi Abdul Rashid Dostum, yang hanya kembali ke Afghanistan minggu ini susulan rawatan kesihatan di Turki, namun dia dipercayai berada di Kabul.

Taliban berjaya menawan banyak lokasi di pedalaman negara itu selepas melancarkan beberapa siri keganasan pada Mei lalu susulan penarikan diri tentera asing.

Semalam, bandar Zaranj di Nimroz jatuh ke tangan Taliban ‘tanpa pergelutan’, kata timbalan gabenornya yang turut berkata ia adalah ibu negeri pertama yang ditawan pemberontak.

Lebih banyak pemberontakan di Sheberghan, kata beberapa sumber kepada AFP tetapi seorang pembantu Dostum mengesahkan, ia sudah pun ditawan.

Dostum sebelum ini mengawal salah satu tentera militan di utara dan memperoleh reputasi yang menggerunkan dalam perjuangannya menentang Taliban pada tahun 1990-an, termasuk dituduh membunuh ramai pemberontak yang ditawan.

Pengunduran pejuangnya itu dijangka akan menyekat harapan kerajaan Kabul bahawa kumpulan itu akan membantu pasukan tentera yang berada dalam tekanan.

Ketika ini di media sosial, penduduk menyokong kehadiran Taliban di bandar padang pasir itu, berikutan ia sudah lama tidak mempunyai undang-undang.

Ia mempamerkan aset ketenteraan kenderaan pelbagai guna (SUV) Humvee, malah membawa kenderaan dengan laju dengan mengibarkan bendera putih Taliban disaksikan penduduk yang kebanyakannya anak muda, bersorak gembira.

Perkara pertama pemberontak lakukan selepas memasuki Zaranj adalah membuka pintu penjara tempatan dan membebaskan banduan termasuk penjenayah.

Beberapa video di Twitter juga menyaksikan tunjuk perasaan di pejabat kerajaan, mencuri meja dan kerusi serta kabinet dan televisyen di situ.

Bagaimanapun, ia tidak dapat disahkan sama ada benar-benar berlaku.

“Tentera keselamatan Afghanistan ketika ini hilang moral kerana tekanan propaganda oleh Taliban.

Biarpun sebelum serangan berlaku, ramai mereka sudah meletakkan senjata dan menanggalkan uniform serta melarikan diri,” kata satu sumber kanan yang enggan dinamakan kepada AFP.

Ketika ini, belum ada sebarang pengesahan dari kerajaan berhubung penawanan bandar itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top