safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Sabah, Terengganu dan Kelantan.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata PKPD di Sabah membabitkan tiga lokaliti di Tawau iaitu Blok 11, Kampung Titingan; Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan Kampung Rawa-Rawa Batu 4.
Beliau berkata, PKPD di Sabah turut dilaksanakan di dua lokaliti di Kalabakan membabitkan Perumahan Ladang Kapur, Benta Wawasan dan Perumahan Ladang Surudung, Usahawan Borneo serta Kampung Padas, Kota Kinabalu.
“Dua lagi kawasan yang dikenakan PKPD adalah di Desa Keluarga YPD Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kampung Baru Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan.
“Pelaksanaan PKPD ini adalah berdasarkan pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD ini bermula 10 Ogos hingga 23 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




