Takut vaksin sebab percaya cerita tidak benar

Takut vaksin sebab percaya cerita tidak benar

Oleh Nuraliawati Sabri

bhnews@bh.com.my

JASIN: Terpengaruh dengan cerita tidak benar mengenai vaksin COVID-19 menyebabkan segelintir masyarakat Orang Asli, di sini, lambat menerima suntikan vaksinasi.

Dolah Rochok, 60, berkata beliau sepatutnya menerima suntikan vaksin pada pertengahan Julai lalu, namun menolaknya kerana takut serta terpengaruh dengan cerita tidak benar.

“Kalaulah saya tidak mudah percaya cakap-cakap kosong mengenai vaksin, tentunya saya sudah lengkap menerima dua dos.

“Bila dengar macam-macam, saya jadi takut tetapi hari ini, apabila saya melaluinya, tak sakit pun, malah sekejap sahaja sudah selesai,” katanya ketika ditemui di Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin, di sini, hari ini.

Bapa kepada lima anak dari suku Temuan itu adalah antara 44 Orang Asli dari daerah Jasin, yang menerima vaksin dos pertama, hari ini.

Malini Latif, 23, berkata beliau pada awalnya terpengaruh dengan berita dan fakta tidak benar mengenai vaksin yang dibaca di media sosial sehingga enggan menerima suntikan.

“Bila terbaca berita seperti itu saya jadi takut tetapi selepas melihat mereka yang sudah menerima vaksin, termasuk suami sendiri tiada apa-apa dan sihat, saya mula sedar.

“Sebenarnya, vaksin ini sangat penting untuk melindungi diri kita, apatah lagi ada anak kecil seperti saya. Kalau saya tidak lindung diri, ia secara tidak langsung mendedahkan anak kepada bahaya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah/Jasin, Adzrien Ab Rahim, berkata sehingga kini program vaksinasi membabitkan Orang Asli di Jasin sudah mencapai hampir 70 peratus.

“Jumlah keseluruhan yang layak adalah 535 orang dan daripada jumlah itu 374 individu sudah lengkap dua dos suntikan.

“Hari ini, seramai 44 menerima dos pertama mereka. Sambutan dalam kalangan Orang Asli kini memberangsangkan apabila mereka mula yakin walaupun pada mulanya risau akan kesan vaksin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top