KABUL: Jurucakap Taliban memberitahu BBC, kumpulan itu mahu mengambil alih kuasa di Afghanistan dalam beberapa hari lagi ketika pejuang mereka mengepung Kabul.
“Dalam beberapa hari lagi, kami mahukan peralihan kuasa secara aman,” kata Suhail Shaheen, yang berpusat di Qatar selaku anggota perunding kumpulan itu, kepada BBC.
Shaheen mengatur dasar Taliban menjelang pengalihan kuasa yang diharapkan yang akan mengembalikan pemerintahan dua dekad Taliban yang berakhir selepas pasukan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS) menggulingkan mereka berikutan serangan 11 September 2001.
“Kami mahukan pemerintahan Islam yang inklusif… itu bermakna semua rakyat Afghanistan akan menjadi sebahagian daripada pemerintahan itu,” kata Shaheen.
“Ia akan berlaku ketika peralihan kuasa secara aman sedang berlangsung.
“Beliau juga berkata, kedutaan asing dan kakitangannya tidak akan menjadi sasaran pejuang kumpulan dan mereka harus tetap berada di negara ini.
“Tidak akan ada risiko bagi diplomat, NGO, dan siapa pun. Semua harus meneruskan pekerjaan mereka seperti yang mereka lakukan pada masa lalu. Mereka (pejuang) tidak akan membahayakan mereka, mereka harus tetap ada,” katanya.
Berhubung kebimbangan negara itu akan kembali kepada zaman kegelapan undang-undang Islam versi ultra-konservatif, Shaheen berkata, Taliban sebaliknya akan mencari bab baharu yang lebih bertoleransi.
“Kami mahu bekerjasama dengan mana-mana orang Afghanistan, kami ingin membuka bab baharu perdamaian, toleransi dan hidup dalam perpaduan nasional untuk negara dan rakyat Afghanistan,” katanya.
Namun, ramai pegawai, tentera dan polis sama ada sudah menyerah atau meninggalkan jawatan mereka, kerana takut akan tindak balas terhadap sesiapa yang disyaki bekerja dengan kerajaan atau pasukan keselamatan Barat.
Shaheen bagaimanapun memberi jaminan bahawa itu tidak akan berlaku.
“Kami memberi jaminan bahawa tidak ada balas dendam kepada siapa pun. Setiap kes akan disiasat,” katanya.
Jurucakap yang berpangkalan di Doha itu berkata, kumpulan itu juga akan mengkaji hubungannya dengan AS.
“Hubungan itu adalah pada masa lalu. Di masa depan, jika ia tidak menyentuh agenda kita lagi, ia akan membuka lembaran kerjasama baharu,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




