Perdana Menteri lawat mangsa banjir Kelantan dan Terengganu

Rantau Panjang: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa sehari untuk melawat negeri pantai timur yang dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.

Muhyiddin tiba jam 10 pagi dengan menaiki helikopter sebelum mendengar taklimat banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi yang turut dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selepas itu, Muhyiddin melawat mangsa banjir di PPS berkenaan sebelum menyerahkan sumbangan kepada mangsa.Untuk rekod, sehingga jam 9 pagi ini, seramai 1,065 mangsa banjir dipindahkan di 14 PPS membabitkan 389 keluarga.

Semua mangsa banjir berkenaan melibatkan daerah Pasir Mas dan Tanah Merah.

Muhyiddin kemudiannya bergerak ke Terengganu untuk meninjau keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman.

Beliau tiba pada 1.20 tengah hari bersama beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dibawa ke bilik taklimat terlebih dahulu bagi mendengar perkembangan terkini keadaan banjir di Terengganu.

Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Muhyiddin turut meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra bersama beberapa orang mangsa serta menyerahkan kit barangan keperluan asas.

Kunjungan kali ini adalah yang pertama ke Terengganu sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 29 Feb lepas.

PPS SK Bukit Mentok mula dibuka Sabtu lepas untuk menempatkan 669 orang daripada 166 keluarga, namun kini hanya 483 mangsa daripada 140 keluarga yang masih berada di situ dan PPS itu dijangka ditutup petang ini.

Jumlah terkini mangsa banjir di Terengganu setakat pukul 2 petang ialah seramai 999 orang daripada 257 keluarga melibatkan daerah Kemaman dan Dungun.

Malay News
National Desk

 

Scroll to Top