Sultan Johor titahkan JAINJ siasat wanita kahwini pemain hoki India

Johor Bahru : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita dari negeri itu yang dilaporkan berkahwin dengan pemain hoki warga India, minggu lalu.

Baginda bertegas mahu keabsahan agama wanita itu disahkan melalui ahli keluarganya di sini dan menerusi maklumat daripada kedutaan Malaysia di India.

Titah baginda, sebagai Ketua Agama Islam Johor, dirinya bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

“Saya berkeyakinan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor akan memberikan pertolongan diperlukan kepada wanita berkenaan bagi mengekalkan akidah wanita itu dalam lingkungan syariat Islam.

“Apa juga berita yang kita terima berkaitan dengan silaturahim sesama umat Islam, perlu diteliti tanpa prasangka buruk. Kita perlu berlapang dada dan berbaik sangka.

“Kita juga perlu dan mengambil tindakan meneliti berita berkenaan dari sumber yang pasti dan tepat,” titah baginda melalui kenyataan akaun Facebook rasmi hari ini.

Rabu lalu, Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique.

Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Sultan Ibrahim turut dukacita dengan penularan berita perkahwinan wanita terbabit yang dikatakan melangsungkan pernikahan tidak berdasarkan hukum syarak di India.

“Saya berasa dukacita apabila terdapat berita yang bertebaran di media berkaitan seorang wanita bangsa Johor yang dikatakan telah melangsungkan pernikahan yang tidak berdasarkan hukum syarak di India.

“Saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Sementara itu, saya menasihatkan semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra-matang dalam berita ini.

“Wanita itu sedang melalui proses penghakiman melalui platform media sementara dia tidak mengisytiharkan ingin keluar dari agama Islam.

“Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan menghukum beliau, maka kita akan melihat tembok yang tinggi untuk dia kembali semula ke negara kita dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan dia di India,” titah baginda.

Baginda turut menitipkan nasihat kepada wanita terbabit supaya memastikan segala tindakan atau keputusan dibuat, mendapat restu ibu bapa dan tidak melanggar norma agama Islam.

Malay News

National Desk