Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan beliau tidak memerlukan bantuan China untuk menamatkan perang dengan Iran.
Bagaimanapun, Trump berkata, beliau akan berbincang panjang dengan Xi Jinping ketika kedua-dua pemimpin mengadakan sidang kemuncak minggu ini.
Trump berkata kepada wartawan sebelum berlepas ke Beijing bahawa mereka akan berbincang panjang mengenainya.
China adalah rakan ekonomi utama Iran dengan membeli sebahagian besar pengeluaran minyak negara itu selain menjadi penyokong diplomatik penting.
Trump bagaimanapun menegaskan, beliau tidak memerlukan Xi untuk mencari jalan keluar bagi konflik itu.
Konflik berkenaan bermula dua bulan setengah lalu dengan serangan besar-besaran AS dan Israel, sebelum berakhir dalam kebuntuan berhubung kawalan laluan perkapalan Selat Hormuz.
“Kami mempunyai banyak perkara untuk dibincangkan.
“Sejujurnya, saya tidak akan mengatakan Iran adalah salah satu daripadanya kerana kami sangat mengawal Iran.
“Kami sama ada akan mencapai perjanjian atau mereka akan dimusnahkan,” kata Trump.
Di tengah laporan bahawa China terus membantu membekalkan senjata kepada Iran dan membeli minyak yang dikenakan sekatan, Trump berkata, Xi ‘agak baik’.
Menurutnya, Xi adalah rakannya dan seseorang yang boleh bekerjasama dengan baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



