Yakin Ismail Sabri tidak pinggir golongan muda

Yakin Ismail Sabri tidak pinggir golongan muda

saiful.haizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diyakini tidak akan meminggirkan golongan muda dalam baik dalam aspek pembentukan Kabinet dan merangka dasar kerajaan.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, keyakinan itu berasaskan pengalaman Ismail Sabri yang memulakan karier politik pada usia yang muda dan dilantik sebagai anggota Kabinet buat kali pertama sebagai Menteri Belia dan Sukan pada usia 48 tahun.

“Soal pembentukan Kabinet adalah kuasa prerogatif beliau sebagai Perdana Menteri, itu perkara asasnya.

“Tetapi apa yang saya lihat, berdasarkan pengalaman Perdana Menteri dalam karier politik dan mengetuai Kementerian Beliau dan Sukan dalam usia yang muda, sudah pasti soal orang muda akan menjadi elemen tumpuan dan fokus yang akan diberi beliau.

“Apatah lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, anak muda adalah golongan yang amat terkesan kerana mereka adalah golongan pemula, berbeza dengan golongan yang lebih berusia yang ada simpanan yang tinggi dan kehidupan stabil,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menyarankan Kabinet yang bakal dibentuk mesti menampilkan pemimpin muda termasuk dari pembangkang.

Beliau berkata, langkah itu juga bertepatan dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan, bukannya saling berebut kuasa dalam kalangan parti politik.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, pembabitan generasi muda dalam pentadbiran negara tidak wajar disempitkan kepada kedudukan dalam Kabinet kerana banyak platform lain yang boleh dimanfaatkan.

Katanya, terdapat banyak peluang untuk generasi muda berbakti seperti dalam jawatankuasa-jawatankuasa berkaitan hasil negara, pemulihan negara dan reformasi sistem tadbir urus.

“Itu terpulang kepada Perdana Menteri, saya tidak ada masalah dalam kedudukan macam mana pun untuk diberi peluang kepada orang muda,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahar menjelaskan beliau tidak menolak kerjasama bipartisan dan perkara itu sebenarnya dimulakan pentadbiran terdahulu.

Sebagai contoh katanya, Kementerian Kewangan sebelum ini menjemput pemimpin pembangkang merangka strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Belanjawan.

“Cuma kita kena perbanyak dan perkasakan lagi, janganlah kita nampak kerjasama bipartisan ini hanya tertumpu kepada pembentukan Kabinet

“Paling penting bagi saya, mesti mesti ada kerjasama bipartisan dalam memulihkan negara dan untuk tujuan itu perlu ada dasar yang stabil dan menyeluruh, tidak boleh tertumpu kepada satu pihak dan kita perlu melihat dari aspek kepentingan nasional,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, mengambil kira titah pandangan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, beliau berpendapat kerjasama merentasi parti politik perlu diperkasakan.

Namun katanya, ia tidak sepatutnya tertumpu kepada kedudukan dalam Kabinet semata-mata.

“Masih pramatang untuk membincangkan pembabitan mana-mana pihak dalam Kabinet kerana setakat ini kita belum mendengar apa-apa bayangan tentang bentuk Kabinet itu.

“Kalau diperhalusi titah Tuanku, kita perlu babitkan semua pihak, baik pemimpin tua dan muda, pembangkang dan kerajaan.

“Apa yang penting ialah saluran komunikasi mesti jelas dan terbuka serta mesti ada ruang kerjasama demi menyelesaikan masalah COVID-19 dan kebajikan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top