Kuala Lumpur: Malaysia muncul sebagai model global dalam pengurusan bencana, dengan kuasa-kuasa antarabangsa berminat untuk mempelajari kepakaran negara dan secara khususnya pasukan tindak balas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pengiktirafan itu terserlah melalui kerjasama strategik dengan negara-negara luar serta penghargaan yang diberikan oleh komuniti antarabangsa.
“Saya merasakan bahawa Malaysia menjadi contoh kepada negara-negara lain di dalam pengurusan bencana. Jika tidak, mana mungkin pasukan daripada Rusia belajar dari kita? Mana mungkin Turkiye memberikan penghargaan kepada kita?
“Myanmar memberikan penghargaan kepada kita apabila mereka menghadapi bencana, malah Pakistan juga menghargai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terutamanya pasukan SMART yang telah pun kita hantar. Inilah jasa-jasa kita,” katanya berucap merasmikan Resilient Asia Exposition and Forum 2026, di sini malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kompleksiti bencana moden kini menuntut integrasi Kecerdasan Buatan (AI), dengan kajian menunjukkan pengagihan sumber berasaskan AI mampu mengurangkan masa tindak balas sebanyak 30 hingga 40 peratus.
“Prinsip saya dalam perkara ini mudah, dalam tindak balas bencana, setiap saat amat berharga dan apabila masa tindak balas dipendekkan, nyawa dapat diselamatkan. Inilah sebabnya fokus kita mesti melangkaui sekadar peralatan dan teknologi semata-mata. Ia berkaitan membina sistem yang lebih pantas, lebih terselaras dan lebih responsif di lapangan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia bukan lagi sekadar belajar daripada negara seperti Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebaliknya telah menjadi hab latihan bagi pasukan penyelamat antarabangsa, dengan Pasukan SMART Malaysia menarik minat Persekutuan Rusia untuk latihan bersama mencari dan menyelamat tahun lepas, bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi rentas sempadan.
“Bergerak ke hadapan, Malaysia komited untuk memainkan peranan yang lebih besar bukan sahaja sebagai peserta, tetapi sebagai hab serantau dan rakan yang dipercayai dalam pengurusan bencana serta tindak balas kemanusiaan.
“Malaysia bersedia untuk menerima dan mengalu-alukan lebih banyak negara untuk bekerjasama, menjalani latihan bersama, berkongsi pengetahuan serta memperkukuh kesiapsiagaan kolektif kita,” katanya.
Bertemakan AI For Future-Proofing Disaster Management Towards Stronger Communities, expo itu menghimpunkan pakar antarabangsa, agensi teknikal, unit tindak balas, pemimpin teknologi dan pemain industri dari seluruh Asia dalam satu platform strategik yang memfokuskan kepada transformasi pengurusan bencana berteraskan teknologi.
Hadir bersama-sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




