Harian Metro rangkul dua anugerah Majlis Apresiasi Media JKKN

Harian Metro rangkul dua anugerah Majlis Apresiasi Media JKKN

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengiktiraf peranan pengamal media dalam membantu agensi kerajaan itu mengangkat seni dan budaya negara terus subur dan dihargai.

Ketua Pengarahnya, Mohd Amran Mohd Haris berkata, hubungan erat antara JKKN dan media menjadi pemangkin utama dalam memastikan seni dan budaya negara terus mendapat tempat di hati masyarakat.

“Sepanjang 2025, JKKN berjaya menembusi setiap lapisan masyarakat dan ini bukan usaha sebelah pihak, sebaliknya hasil sinergi kukuh antara JKKN dan media yang sentiasa komited menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Media bukan sekadar penyampai berita, tetapi rakan strategik yang menjadi nadi dalam memastikan mesej kerajaan sampai dengan tepat, jelas dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media 2025 di sini, malam ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, keseluruhan program JKKN mencatatkan nilai perhubungan awam (PR) yang memberangsangkan sebanyak RM73.9 juta, jauh mengatasi nilai keseluruhan Unit Komunikasi Korporat yang berjumlah RM1 juta.

Katanya, liputan berkaitan JKKN turut melibatkan 28 saluran radio, 59 siaran televisyen, 213 artikel akhbar serta 15 sidang media, sekali gus menunjukkan sokongan berterusan masyarakat terhadap seni dan budaya tempatan.

“Impak daripada usaha ini amat besar dalam memperkasakan seni dan budaya negara, sekali gus memperkukuh identiti nasional,” katanya.

Sehubungan itu, JKKN turut memperkenalkan anugerah dalaman sebagai penghargaan kepada unit komunikasi korporat negeri yang berjaya meningkatkan liputan media.

Beliau berkata, bagi tahun 2025, Anugerah Nilai PR Tertinggi keseluruhan dimenangi oleh JKKN Perlis dengan nilai RM10.8 juta, manakala Program Pelancongan Budaya Terbaik menerusi Pesta Angin Timur turut dimenangi negeri sama dengan nilai RM9.8 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Amran berkata, JKKN akan terus memperkukuh perancangan strategik selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara 2026-2030.

Katanya, bagi tahun 2026, sebanyak 374 program dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara merangkumi 207 indikator utama prestasi (KPI).

“Antara program yang dirancang termasuk 15 program pelancongan budaya, program asuhan dan kemahiran, penyelidikan dan perantisan, festival teater zon, panggung seni tradisional serta pelbagai inisiatif lain yang mendekatkan masyarakat dengan seni dan budaya,” katanya.

Beliau berkata, semua inisiatif itu turut menyokong sektor pelancongan negara, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Adalah menjadi harapan kami agar hubungan baik bersama media terus diperkukuh dan rakan media akan terus berganding bahu mempromosikan aktiviti seni dan budaya negara.

“Usaha ini penting bagi memastikan seni budaya kekal subur serta menjadi identiti nasional yang unik dan jambatan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Harian Metro merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Media Cetak dan Anugerah Media Atas Talian menerusi liputan Karya Teater Seniman Negara, Datuk Lat Kampung Boy.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top