Faizal pimpin jentera serangan THT

Kuala Terengganu: Penyerang hoki prolifik Malaysia, Faizal Saari bakal terus menggempur setelah diberi peranan memimpin serangan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada musim depan.

Cabaran disandarkan di atas bahu penjaring kedua terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) itu setelah THT melupakan hasrat untuk setidak-tidaknya mengekalkan pakar flik, Jang Jonghyun dari Korea Selatan.

Menurut Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun, ketajaman Faizal terus ditagih bagi membolehkan pemain berumur 29 tahun itu mengulangi 14 gol yang dijaringkannya dalam MHL 2020.

“Reputasi Faizal selaku antara penyerang terbaik di rantau ini akan terus menjadi taruhan THT pada saingan musim depan yang bermula 14 Januari nanti. Selain itu, adiknya iaitu Fitri, bekas ketua pasukan negara disamping Shahrun Nabil Abdullah dan Nabil Fikri Mohd Noor juga akan menjadi tunjang utama THT”, katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Fikri berkata, meskipun menggunakan khidmat pemain tempatan, tetapi dia yakin barisan THT 2021 boleh membawa cabaran itu.

Sementara itu, menurutnya, jurulatih, K. Rajan adalah individu paling layak mengendali THT bagi menyaingi juara liga dan Piala TNB, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Katanya, pengalaman sebagai bekas jurulatih remaja negara ke Piala Dunia 2009 disamping melatih pasukan TNB selama 12 musim membuktikan kredibiliti anak jati Perak itu.

“Devan arif tentang liga tempatan selain menjadi ketua jurulatih Singapura sebelum ini, jadi kita yakin beliau tiada masalah membentuk pasukan THT. Diketuai Faizal sebagai penyerang, tidak mustahil THT akan menambah baik pencapaian tangga ketiga liga dan naib juara Piala TNB”, katanya.

Sumber: UM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top