PARALIMPIK: Chao Ming, Nur Syaiful 'buka langkah'

PARALIMPIK: Chao Ming, Nur Syaiful 'buka langkah'

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Atlet pingpong negara, Chee Chao Ming sudah tidak sabar untuk memulakan aksi sulungnya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Dia akan turun menentang pemain Itali, Mohamed Kalem dalam saingan Kumpulan C bagi individu Kelas-9 di Gimnasium Metropolitan Tokyo, esok.

Chao Ming antara atlet para negara pertama yang akan turun ke ‘medan perang’ selain perenang, Muhamad Nur Syaiful Zulkafli.

Bagi Chao Ming, biarpun dia meraih tiket kelayakan menerusi jemputan ‘bipartite’ namun ia tidak menghalang dirinya untuk memasang impian besar dalam penampilan pertama di pentas Paralimpik.

Katanya, dia meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya melangkah sehingga peringkat suku akhir.

“Sukan Paralimpik ini akan menjadi kejohanan pertama saya sejak kali terakhir pada 2019 di Argentina. Selepas kejohanan di Argentina, saya tidak menyertai mana-mana kejohanan disebabkan pandemik COVID-19.

“Jadi, saya teruja untuk kembali bersaing dalam aksi kompetitif. Walaupun peluang saya tidak tinggi namun saya janji akan buat yang terbaik dan fokus dalam setiap perlawanan,” katanya yang meraih pingat gangsa di Sukan Para Asia di Indonesia pada 2018.

Sementara itu, Nur Syaiful pula akan beraksi dalam pusingan kelayakan acara 200 meter (m) gaya bebas bagi Kelas S5 di Pusat Akuatik Tokyo.

Hanya lapan perenang terbaik daripada 14 atlet yang bersaing di pusingan kelayakan layak ke pentas final.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top