Disangka burung, pemburu maut ditembak

Disangka burung, pemburu maut ditembak

bhnews@bh.com.my

PAKAN: Seorang lelaki maut ditembak seorang pemburu yang menyangkanya seekor burung di kawasan hutan Nanga Dayu iaitu antara sempadan RH Uding, Ulu Budu, Saratok dengan RH Anthony, Sungai Merah, Dayu Pakan semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin, berkata dalam kejadian jam 4 petang, mangsa yang dikenali sebagai Nissa Jamu, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya dari RH Anthony keluar memburu dan apabila sampai di kawasan hutan berkenaan, ketiga-tiga lelaki itu berhenti sebentar untuk berehat.

Beliau berkata, suspek seorang lelaki berusia 45 tahun juga keluar memburu bersendirian dari arah Ulu Budu, Saratok.

“Sampai di tempat kejadian, suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangkanya seakan-akan seekor burung.

“Selepas melepaskan tembakan, suspek terus bergerak ke arah mangsa dan mendapati dia sudah tertembak mangsa.

“Suspek sudah meminta maaf kepada dua rakan mangsa dan kemudian balik ke rumah dalam keadaan ketakutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Andam berkata, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Julau sebelum ditahan pada kira-kira jam 2 pagi tadi.

Sementara, beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati kesan tembakan dijumpai di belakang badan dan kepala mangsa.

Katanya, kes di siasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960, yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top