80% anak jati perkuat Pahang

Kuantan: Pasukan Pahang akan menampilkan 80 peratus anak jati Pahang untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Ia termasuklah penyertaan empat pemain kelahiran Pahang yang sebelum ini merantau bersama pasukan luar dalam usaha memperkuatkan skuad Tok Gajah lantas tampil lebih gagah.

Mereka adalah Abdul Malik Mat Ariff yang pernah bersama Terengganu FC (TFC) dan Kuantan FA, Shahrul Aizad Zulkifli (Felda United FC/TFC), Muhammad Jadid Ilias (Felda United) dan Baqiuddin Shamsudin (UKM FC).

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata bahawa kehadiran mereka diharap memberi kekuatan di bahagian tengah dan pertahanan Tok Gajah pada musim 2021.

Menurutnya, pengalaman dimiliki mereka juga diyakini dapat membantu terutama dengan kerjasama dan sokongan pemain sedia ada Pahang termasuk awang import.

“Kehadiran empat pemain ini melengkapkan 80 peratus pemain yang berasal dari Pahang. Daripada segi pengurusan, kita sememangnya mahu menyenaraikan lebih ramai anak jati Pahang berada dalam skuad Tok Gajah. Musim 2021 juga diharap Pahang akan memberikan tentangan terutama diperkuatkan juga dengan pemain import baharu”, katanya.

Dalam pada itu, Pahang setakat ini mengesahkan Sergio Aguero dan Lee Tuck sebagai antara dua import baharu yang bakal memperkasakan enjin serangan dan tengah. Cuma pemain import dari Perancis, Herold Goulon yang beraksi di posisi pertahanan dikekalkan.

Difahamkan, Pahang kini masih sedang berusaha mendapatkan lagi dua pemain import iaitu masing-masing seorang dari Asia Tenggara dan Asia untuk diisi di bahagian serangan dan pertahanan.

Antara pemain Asia yang menjadi tumpuan ialah dari Australia, Korea Selatan, Lubnan, Palestin dan Jepun manakala di Asia Tenggara pula antaranya dari Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top