UMNO, sila tunai janji laksana MA63-Anifah Aman – Utusan Digital

UMNO, sila tunai janji laksana MA63-Anifah Aman – Utusan Digital

KOTA KINABALU: UMNO digesa untuk segera menunaikan janji bagi mengembalikan hak Sabah yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Janji itu dinyatakan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari tahun lalu.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman berkata, Presiden UMNO itu sudah berjanji kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan sepenuhnya MA63 apabila UMNO kembali berkuasa.

“Saya percaya Ahmad Zahid merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mengotakan janji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa kempen PRK Kimanis pada tahun lalu, Presiden UMNO itu berjanji sekiranya Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO diberi mandat berkuasa semula, mereka akan melaksanakan MA63 100 peratus.

Sebagai rakyat Sabah, bekas Menteri Luar Negeri ini ingin menuntut janji tersebut memandangkan, Perdana Menteri hari ini merupakan pemimpin UMNO. Pelaksanaan tuntutan 100 peratus diperlukan.

Anifah berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu lagi menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji tuntutan dalam MA63 kerana perkara ini sudah pun berada di peringkat Kabinet semasa beliau berada dalam kerajaan.

“Kita melihat setiap kali kerajaan bertukar, sebuah jawatankuasa baharu akan ditubuhkan untuk mengkaji MA63 dan ia merupakan taktik untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, beliau meletak harapan yang tinggi agar Ismail Sabri memahami aspirasi rakyat Sabah dengan memastikan segala hak keistimewaan Sabah dalam MA63 akan dikembalikan.

Kedua-dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak sudah lama menuntut hak mereka sebagai rakan dalam pembentukan Malaysia.-UTUSAN ONLINE

Scroll to Top