SHAH ALAM: Sabitan bersalah terhadap seorang majikan yang dituduh melakukan ugutan, mencederakan serta mengeluarkan perkataan dengan niat melukakan perasaan keagamaan pengawal keselamatan pada 2021 dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Ahli perniagaan itu, Chung Chee Yang, 48, diarahkan menjalani hukuman penjara selama lima tahun bermula hari ini selepas rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada tahun lalu ditolak.
Sabitan bersalah itu dikekalkan oleh Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim terhadapnya selepas beliau menolak rayuan terhadap sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan 10 bulan.
Beliau berkata, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dilakukan oleh Mahkamah Majistret kecuali hukuman penjara berasingan seperti diperintahkan sebelum ini.
Justeru, lelaki yang memakai baju kemeja berwarna ungu itu kemudian diarahkan menjalani hukuman penjara serentak selama lima tahun bermula, hari ini.
“Saya mendapati hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret adalah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh undang-undang dan amat (sesuai) dengan kesalahan yang dilakukan.
“Tiada alasan yang munasabah untuk saya campur tangan dalam mengubah hukuman oleh Mahkamah Majistret, sebagai kesimpulan saya menolak rayuan sabitan dan hukuman, bagaimanapun saya membenarkan hukuman penjara berasingan sebelum ini berjalan secara serentak bermula hari ini,” katanya.
Malah, Hakim Shamsulbahari turut menolak permohonan penangguhan hukuman menerusi peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sehingga memperolehi keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan turut ditolak selepas dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Najiha Tengku Zahari.
Terdahulu, Hakim Shamsulbahari dalam penghakimannya memberitahu Chee Yang didakwa memukul dua pengawal peribadinya, Mohd. Azminizam Zulkepli, 49, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 32, serta mengugut dengan menggunakan sepucuk pistol mengandungi peluru hidup.
Malah, ahli perniagaan sebagai perayu itu didakwa mengeluarkan ayat-ayat bersifat penghinaan terhadap agama kepada kedua-dua lelaki tersebut yang ketika itu sedang menjalani ibadah puasa.
“Kemudian (perayu) memberikan amaran kepada Mohd. Azminizam dan Ahmad Shamsuri kerana berpuasa dan menyatakan ayat berikut ‘you orang berpuasa, you orang mahu percayakan saya, you ingat you punya Allah boleh kasi wang sama you, boleh tolong you?’
“Perayu juga dikatakan menampar dan menumbuk kedua-dua pengawal peribadi dan mengugut ‘you mahu ikut saya atau you punya Allah’, ‘siapa bayar gaji you? Allah atau saya? You punya Allah boleh kasi itu wang ke? Atau you mau kerja dengan saya, you boleh tak puasa?,” jelasnya.
Pada Mac tahun lalu, Mahkamah Majistret di Klang, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 terhadap seorang ahli perniagaan atas tiga pertuduhan tersebut.
Majistret Siti Zubaidah Mahat membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan yang mewakili Chee Yang, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan terhadap semua pertuduhan pindaan.
Dalam prosiding tersebut, lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 506, 298 dan 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN




