Hubungan pertahanan Malaysia dan Thailand terus diperkukuh apabila kedua-dua negara sepakat memperluas kerjasama strategik demi memastikan keamanan serta kestabilan serantau terus terpelihara.
Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan dua hala antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen di Pangkalan Udara Subang.


Pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan pertahanan yang semakin akrab antara Kuala Lumpur dan Bangkok, selain menjadi platform membincangkan perkembangan semasa serta cabaran keselamatan yang dihadapi rantau ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia menyambut baik kesediaan Thailand untuk terus bekerjasama rapat dalam memastikan keamanan yang berkekalan, khususnya melibatkan perkembangan semasa di Selatan Thailand.
“Malaysia akan terus memainkan peranan yang konstruktif dalam memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga yakin hubungan erat Malaysia-Thailand bukan sahaja menjadi asas penting dalam kerjasama pertahanan, malah menyumbang kepada usaha mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ASEAN.
Artikel lain: Bukan tugas ATM semata-mata! Pertahanan negara tanggungjawab seluruh rakyat – Khaled Nordin

Kerjasama erat antara kedua-dua negara dijangka terus menjadi tonggak penting dalam memperkukuh keselamatan serantau, selari dengan kepentingan bersama untuk memastikan ASEAN kekal aman dan stabil.




