LUCT digesa segera mohon Akreditasi Penuh – Utusan Digital

LUCT digesa segera mohon Akreditasi Penuh – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) dinasihatkan segera membuat penambahbaikan dan memohon semula Akreditasi Penuh bagi program yang ditarik balik Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sejak perkara itu ditimbulkan Mei lalu, pihaknya sudah berhubung dan bertemu dengan beberapa kumpulan utama di universiti berkenaan.

“MQA menyarankan LUCT mengambil tindakan drastik membuat penambahbaikan yang diperlukan dan seterusnya memohon semula Akreditasi Penuh bagi menjamin kebajikan pelajar di pusat pengajian itu,” kata beliau ketika mengulas mengenai lapan program LUCT yang terkesan selepas akreditasinya dibatalkan.

Lapan program tersebut ialah tujuh program peringkat ijazah sarjana dan satu Ijazah kedoktoran telah diberikan Akreditasi Penuh masing-masing sejak tahun 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Selaras dengan syarat pemberian Perakuan Akreditasi Penuh, MQA melaksanakan penilaian pematuhan terhadap syarat Akreditasi Penuh bermula pada 9 Mac 2018.

Tempoh masa sewajarnya diberikan kepada LUCT untuk memastikan syarat Akreditasi Penuh dipatuhi, namun, daripada penilaian pematuhan itu, Perakuan Akreditasi Penuh program berkenaan terpaksa dibatalkan berkuat kuasa mulai 29 September 2020.

Susulannya, pihak LUCT mengemukakan permohonan Akreditasi Penuh yang baharu ke MQA bagi semua program terbabit pada 15 Oktober 2020.

Bagaimanapun, setelah penilaian semula dilaksanakan, didapati langkah pembetulan belum dilaksanakan, maka permohonan Akreditasi Penuh program tersebut turut ditolak pada 25 Februari 2021 (tiga program) dan 30 Mac 2021 (lima program).

Sehingga kini, pihak LUCT mengemukakan tiga permohonan Akreditasi Penuh daripada lapan program terbabit yang mana penilaiannya dijangka selesai pada November ini.

Mohammad Shatar berkata, dua bulan lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sudah mengarahkan LUCT untuk membuat semula permohonan Akreditasi Penuh.

Katanya, perkara itu turut diulangi ketika memberi jawapan di Parlimen, baru-baru ini mengenai usaha yang diambil kementerian bagi membantu pelajar yang terkesan.

“Wakil pelajar terkesan juga ada membuat perbincangan secara maya dengan MQA dan nasihat sewajarnya sudah diberikan.

“Sekiranya LUCT tidak dapat mengemukakan permohonan semula Akreditasi Penuh, disarankan pelajar program berkenaan dibenarkan untuk menyambung pengajian ke universiti lain dan MQA boleh membantu untuk menjadi pemudah cara,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top