Pelakon Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa terkejut apabila menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial Sharina Richie yang didakwa mahu menyaman anak perempuannya, Dwi Ariana sebanyak RM2 juta.
Memetik mStar Online, Aaron berkata dia menerima surat berkenaan pagi semalam serta tidak memahami kerana anaknya tidak melakukan sebarang kesalahan berat.
BACA: Aaron Aziz Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Penyebar Fitnah
“Pagi tadi (9 Oktober) saya terima satu LOD yang agak mengejutkan. Pihak sana (Sharina) mahu menyaman anak saya sebanyak RM2 juta.
“Saya tak faham apa salah anak saya. Dia sekarang berada di luar negara dan sedang menempuh musim peperiksaan. Kalau nak serang, serang saya. Anak saya cuma bertanya kenapa video tak dipadam dan minta penjelasan,” katanya.
Sementara itu, Aaron berkata dia tidak akan berdiam diri dan akan mempertahankan anaknya apatah lagi nama anaknya turut disebut secara terbuka.
“Awalnya saya dan isteri tak nak beritahu anak kami sebab kami risau ganggu emosinya. Tapi bila pihak sana sendiri muat naik video dan sebut nama anak saya, saya tiada pilihan. Saya perlu tampil dan pertahankan dia,” katanya.
Dalam pada itu, isteri Aaron iaitu Datin Diyana Halik tegas mengatakan dia akan meneruskan tindakan saman terhadap Sharina serta menyerahkan kepada peguam untuk tindakan seterusnya.
Terdahulu, konflik antara keluarga Aaron dan Sharina mula timbul berikutan penularan sebuah video yang memaparkan kenyataan berbaur sensitif.
Video tersebut memaparkan Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin sehingga menjadi bualan ramai.
Bagaimanapun, Sharina telah memadam hantaran berkenaan serta memohon maaf secara terbuka kepada Aaron. Namun, Sharina kemudian membuat laporan polis selepas menerima kecaman serta ugutan berikutan isu berkenaan.
Sumber: mStar Online




