aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harapan untuk menyaksikan beregu negara yang juga bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak ke suku akhir badminton Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking keenam dunia itu dikejutkan pasangan kembar Taiwan, 14-21, 18-21.
Aaron turut mengakui kecewa tidak dapat memberikan hadiah perpisahan terakhir kepada ketua jurulatih, Tan Bin Shen yang akan meninggalkan kem badminton negara sejurus selepas tamatnya Terbuka Malaysia kali ini.
“Ada rasa sedikit sedih sebab tak dapat bagi hadiah perpisahan kepada Bin Shen.
“Tapi sekurang-kurangnya kami dah bagi kejayaan kepadanya pingat gangsa di Paris 2024. Kekalahan hari ini juga tidak dijangka.
“Kekalahan ini di luar jangkaan. Sebenarnya hari ini (prestasi) kami kurang dan gagal untuk beri tekanan kepada mereka. Kami banyak memberikan mereka banyak mata mudah menerusi beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya.
“Buat masa sekarang kami perlu lebih fokus (ke Terbuka India) selepas ini,” kata Aaron ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik menyertai kelompok pemain pilihan seperti Viktor Axelsen, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen diikuti wakil negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei (nombor tiga dunia) dan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto (nombor empat) menamatkan cabaran di peringkat awal di Terbuka Malaysia kali ini.
Sementara itu, Wooi Yik pula menganggap kekalahan itu sebagai pengajaran berharga dan ia perlu diperbaiki sebelum mereka menggalas cabaran pada Terbuka India di New Delhi nanti.
“Kami tidak sabar untuk mematikan bulu tangkis dan itu membuatkan kami banyak melakukan kesilapan mudah dan beri lawan mengutip mata.
“Ini satu pengajaran dan kami akan berusaha bangkit di kejohanan seterusnya,” katanya.
Turut tersingkir di suku akhir hari ini adalah beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selepas tewas mudah 6-21, 5-21 kepada pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




