nurul_husna@mediaprima.com.my
RAMAI menganggap ulser mulut yang tidak sembuh-sembuh, suara serak berpanjangan atau benjolan kecil di leher sebagai masalah kesihatan biasa.
Ada yang memilih membeli ubat di farmasi atau menunggu sehingga simptom hilang sendiri.
Namun, dalam sesetengah keadaan, tanda-tanda yang kelihatan kecil ini sebenarnya boleh menjadi petunjuk awal kepada barah kepala dan leher.
Menurut Profesor Madya Jabatan Sains Bioperubatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Ts Dr Rabiatul Basria S M N Mydin, gejala itu kerap diabai kerana barah kepala dan leher kurang diberi perhatian berbanding barah jenis lain.
“Barah kepala dan leher merangkumi barah berlaku pada rongga mulut, lidah, tekak, peti suara, hidung, sinus dan kelenjar air liur.
“Walaupun kurang mendapat perhatian berbanding barah payudara atau peparu, penyakit ini memberi kesan besar terhadap kehidupan pesakit kerana boleh menjejaskan pertuturan, pemakanan, pernafasan dan penampilan diri,” katanya.
Daripada perspektif bioperubatan, barah jenis ini bukanlah penyakit yang muncul secara tiba-tiba.
Dr Rabiatul Basria menjelaskan ia terbentuk menerusi proses yang mengambil masa bertahun apabila sel normal mengalami kerosakan pada bahan genetik atau DNA akibat pendedahan berulang kepada bahan karsinogen.
“Apabila kerosakan ini gagal dibaiki mekanisme pertahanan badan, sel akan terus membahagi tanpa kawalan sehingga membentuk ketumbuhan,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan gaya hidup sebagai punca utama menyumbang kepada barah terbabit.
“Merokok masih menjadi faktor risiko paling utama. Asap rokok mengandungi puluhan bahan kimia yang boleh merosakkan DNA dan menyebabkan mutasi pada gen yang berfungsi mengawal pertumbuhan sel.
“Risiko menjadi lebih tinggi apabila tabiat merokok digabung dengan pengambilan alkohol secara berlebihan.
“Kedua-dua faktor ini saling memperkukuhkan kesan antara satu sama lain sehingga meningkatkan risiko kanser beberapa kali ganda berbanding individu yang tidak merokok atau tidak mengambil alkohol,” katanya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyelidik turut memberi perhatian kepada ‘Human Papillomavirus’ (HPV), khususnya ‘HPV-16’.
Virus ini bukan sahaja dikaitkan dengan barah serviks, malah kini dikenal pasti sebagai antara penyebab utama barah orofaring yang membabitkan bahagian belakang tekak dan pangkal lidah.
Jangkitan HPV boleh mengubah fungsi gen yang mengawal pembahagian sel sehingga meningkatkan risiko pembentukan barah.
Selain itu, faktor persekitaran tempat kerja juga tidak boleh dipandang remeh.
Individu yang sering terdedah kepada habuk industri, asap, bahan kimia tertentu atau persekitaran kerja yang tercemar mempunyai risiko yang lebih tinggi, kerana pendedahan berpanjangan boleh mencetuskan keradangan kronik dan kerosakan DNA.
Kenali Simptom Awal
Cabaran terbesar dalam menangani penyakit ini adalah simptom awalnya yang sering disalah anggap sebagai masalah biasa.
Dr Rabiatul Basria mengingatkan masyarakat agar lebih peka kepada gejalanya.
“Ulser mulut yang tidak sembuh melebihi dua minggu, suara serak berterusan, sakit tekak yang berpanjangan, kesukaran menelan, pendarahan dari mulut atau hidung serta benjolan pada leher tidak seharusnya dipandang ringan.
“Pemeriksaan awal boleh membuat perbezaan besar terhadap peluang rawatan dan kadar kelangsungan hidup pesakit,” katanya.
Langkah Pencegahan dan Ubah Persepsi
Berita baiknya, sebahagian besar faktor risiko penyakit ini sebenarnya boleh dicegah. Antara langkah yang terbukti berkesan termasuk:
– Berhenti merokok
– Mengurangkan pengambilan alkohol
– Mendapatkan vaksin HPV mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia
– Menjaga kebersihan mulut
– Menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
© New Straits Times Press (M) Bhd




