SPRM teliti unsur rasuah dalam Tabung Haji

SPRM teliti unsur rasuah dalam Tabung Haji

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam hadir ke ba­ngunan Tabung Haji bagi meneliti jika terdapat unsur rasuah dalam institusi itu.

Kehadiran SPRM itu bagi mendapatkan beberapa dokumen berkaitan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan TH yang diterbitkan kepada umum menerusi portal rasmi Jaba­tan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, fokus siasatan adalah untuk meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa ataupun ketidakberesan dalam TH.

Katanya, siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Mana-mana individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil untuk dirakam percakapan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat SPRM semalam.

Menurut Abd. Halim, lapan pegawai penyiasat telah ke ibu pejabat institusi itu bagi meneliti dokumen berkaitan.

Katanya, tindakan yang diambil susulan siasatan yang dimulakan selepas satu pasukan khas ditubuhkan semalam.

Selain itu, katanya, tindakan itu dilaksanakan susulan saranan Perdana Menteri supaya agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan RCI yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Untuk makluman semua, seramai lapan orang anggota pasukan penyiasatan bergerak masuk ke bangunan Tabung Haji pagi semalam dan melakukan siasatan.

“Mereka mengenal pasti dokumentasi berkaitan dengan perkara yang ditekankan dalam RCI serta perkara yang berkait dengan siasatan kami,” katanya.

Menurutnya, pasukan pe­nyiasatan juga sedang mengenal pasti individu yang akan dipanggil bagi dirakam percakapan selepas meneliti senarai berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.

Mengulas sama ada pengurusan tertinggi TH termasuk bekas pengerusi akan dipanggil, beliau berkata, siasatan tidak dihadkan kepada mana-mana tempoh tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, siasatan akan dijalankan berdasarkan penemuan dan syor yang dikemukakan dalam laporan RCI.

Semalam, SPRM memaklumkan, pasukan itu diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd. Hafaz Nazar.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat. – UTUSAN

Scroll to Top