Dunia hari ini sedang menyaksikan perkembangan luar biasa dalam kecerdasan buatan, perubatan genetik, teknologi angkasa, robotik dan analisis data. Manusia mampu menghasilkan mesin yang ‘bernyawa’, memetakan penyakit dengan lebih tepat dan meneroka alam semesta dengan peralatan yang semakin canggih. Namun, kemajuan ini turut membawa persoalan besar: Adakah manusia semakin mengenal Tuhan atau sebaliknya?
Al-Quran tidak pernah memusuhi ilmu dan sains. Bahkan, wahyu pertama yang diturunkan ialah perintah membaca: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-Alaq: 1) Ayat ini mengajar bahawa kegiatan membaca, mengkaji dan meneroka mesti bermula dengan kesedaran ketuhanan. Ilmu dalam Islam bukan sekadar alat untuk menguasai alam, tetapi amanah untuk memakmurkan bumi dan membawa manfaat kepada manusia.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.” (Surah ali Imran: 190) Ayat berikutnya menggambarkan golongan ulul albab sebagai mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring serta memikirkan penciptaan langit dan bumi. Inilah gabungan antara zikir dengan fikir. Zikir membimbing hati, manakala fikir menggerakkan akal. Apabila kedua-duanya disatukan, lahirlah manusia berilmu yang tunduk kepada Allah dan bertanggungjawab terhadap kehidupan.
Al-Quran turut mengajak manusia memerhatikan unta, langit, gunung dan bumi sebagaimana dalam Surah al-Ghashiyah ayat 17 hingga 20. Manusia juga diminta meneliti proses kejadiannya dalam Surah al-Mu’minun ayat 12 hingga 14, memahami peranan air dalam kehidupan menerusi Surah al-Anbiya ayat 30 serta merenungi perjalanan hujan dan tumbuh-tumbuhan dalam Surah al-Zumar ayat 21. Semua ini ialah ayat kauniyyah, iaitu tanda kebesaran Allah yang terbentang di alam semesta. Ia bukan sekadar untuk dikagumi, tetapi perlu dikaji melalui pemerhatian, eksperimen dan pemikiran yang jujur.
Al-Quran ialah kitab hidayah, bukannya buku teks fizik, kimia atau biologi. Teori sains boleh berubah apabila muncul bukti baharu, sedangkan kebenaran wahyu tetap hingga kiamat. Oleh itu, hubungan di antara al-Quran dengan sains perlu dibina berasaskan disiplin ilmu, bukan dakwaan sensasi yang hanya bertujuan menarik perhatian di media sosial.
Imam al-Shatibi mengingatkan bahawa al-Quran diturunkan untuk membawa petunjuk, membentuk akidah, akhlak dan hukum kehidupan, bukannya menghimpunkan semua perincian teknikal setiap bidang ilmu. Para ulama tidak menolak sains, tetapi menolak sikap ‘memaksa’ ayat al-Quran supaya menepati teori yang belum pasti. Tafsir saintifik mestilah berasaskan kefahaman bahasa Arab yang sahih, konteks ayat, tafsiran ulama muktabar serta fakta sains yang benar-benar kukuh. Perkara yang masih berbentuk hipotesis atau andaian tidak boleh dinisbahkan kepada al-Quran secara mutlak.
Rasulullah SAW turut mendorong umatnya berusaha mencari rawatan. Baginda bersabda bahawa Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan menurunkan juga penawarnya. Hadis riwayat al-Bukhari ini membuka ruang besar kepada penyelidikan perubatan, penemuan ubat dan penjagaan kesihatan. Ia bukan seruan untuk menunggu keajaiban tanpa usaha, tetapi dorongan supaya manusia mengkaji sunnatullah dengan penuh amanah.
Baginda SAW juga bersabda: “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Riwayat Muslim) Jalan ilmu tidak terhad kepada pengajian agama dalam pengertian yang sempit. Ilmu perubatan yang menyelamatkan nyawa, kejuruteraan yang menjamin keselamatan, pertanian yang menyediakan makanan dan teknologi yang memudahkan kehidupan boleh menjadi ibadah apabila niatnya benar, kaedahnya halal dan manfaatnya luas.
Penghayatan terhadap sains memberikan kesan besar kepada kehidupan fizikal, mental dan spiritual. Dari sudut fizikal, ilmu membantu manusia menjaga kesihatan, memahami pemakanan, mencegah penyakit, mengurus bencana dan memelihara alam sekitar. Daripada sudut mental, latihan saintifik membina ketelitian, kesabaran, keberanian mengakui kesilapan serta kemampuan membezakan fakta daripada sangkaan. Daripada sudut spiritual, semakin luas manusia mengkaji alam, semakin mendalam sepatutnya rasa kagum dan rendah diri di hadapan Allah.
Cabaran semasa paling jelas dapat dilihat dalam penggunaan kecerdasan buatan atau AI. Teknologi ini boleh membantu diagnosis penyakit, pendidikan, penyelidikan dan pentadbiran. Namun, teknologi yang sama boleh digunakan untuk penipuan, fitnah, manipulasi gambar, pencurian data dan penyebaran maklumat palsu. Sains memberikan manusia ‘kuasa’, tetapi wahyu menentukan arah penggunaan kuasa tersebut dengan betul. Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.” (Surah al-Isra: 36) Ayat ini amat relevan dalam dunia digital. Setiap maklumat perlu disemak, setiap dakwaan perlu diteliti dan setiap berita perlu dinilai sebelum disebarkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang dianggap berdusta apabila dia menceritakan setiap perkara yang didengarnya.” (Riwayat Muslim) Seorang Muslim tidak boleh menjadi penyebar maklumat palsu hanya kerana mahu menjadi orang pertama berkongsi sesuatu.
Pendidikan sains yang benar mesti bermula dalam keluarga. Ibu bapa tidak seharusnya mematikan rasa ingin tahu anak-anak dengan ungkapan: “Jangan banyak bertanya.” Pertanyaan yang baik ialah pintu ilmu. Anak perlu dibimbing melihat alam sebagai ciptaan Allah, eksperimen sebagai usaha memahami sunnatullah dan teknologi sebagai amanah, bukannya alat hiburan tanpa batas. Sekolah dan universiti pula perlu menyatukan ilmu, adab dan tauhid. Pelajar bukan sekadar dilatih menghafal formula, tetapi perlu memahami tujuan ilmu dan kesannya terhadap manusia. Masjid juga boleh menjadi medan wacana tentang kesihatan, astronomi, alam sekitar dan teknologi bersama ilmuwan yang berautoriti.
Ulama dan saintis tidak sepatutnya bergerak dalam dua dunia yang saling mencurigai. Ulama membimbing daripada sudut wahyu, nilai dan hukum, sementara saintis menyumbang melalui pemerhatian, ujian dan kepakaran. Kedua-duanya perlu bekerjasama demi kebaikan ummah.
Pada peringkat masyarakat dan negara, penghargaan terhadap sains mesti diterjemahkan melalui budaya membaca, sokongan kepada penyelidikan, penghormatan terhadap integriti akademik dan pemberian peluang kepada bakat muda. Negara yang hebat bukan hanya mempunyai ramai pengguna teknologi, tetapi mampu melahirkan pencipta teknologi yang beriman, beretika dan berkhidmat kepada rakyat.
Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya terdapat kebaikan.” (Riwayat Muslim) Kekuatan itu merangkumi iman, ilmu, kesihatan, ekonomi, daya fikir dan penguasaan teknologi. Umat Islam tidak boleh hanya berbangga dengan sejarah kegemilangan ilmuwan terdahulu jika hari ini sekadar menjadi pengguna kepada ciptaan orang lain.
Kesimpulannya, keajaiban sains dalam ayat al-Quran ialah bahan untuk dikaji dan dimanfaatkan. Ia ialah panggilan supaya umat membaca, berfikir, mengkaji dan mencipta. Al-Quran tidak datang untuk menggantikan makmal, tetapi ia membimbing manusia yang berada di dalamnya. Apabila zikir memimpin fikir, sains tidak akan menjadi alat kemusnahan, sebaliknya menjadi jalan mengenal kebesaran Allah dan membina keluarga, masyarakat serta negara yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
Penulis Pensyarah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




