
Aaron (kiri) dan Wooi Yik tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 di Hangzhou, China sebentar tadi.
BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula langkah kiri apabila tumbang dalam aksi pembukaan Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 di Hangzhou, China sebentar tadi.
Tampil selaku beregu nombor ketiga dunia, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-14, 18-21 kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Sekalipun berada di ranking lebih baik berbanding Hoki-Kobayashi yang menghuni tangga ketujuh dunia, rekod pertemuan kedua-dua gandingan itu nyata tidak memihak Aaron-Wooi Yik.
Dalam lapan pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik hanya mampu meraih dua kemenangan dan tewas lima perlawanan terakhir berdepan Hoki-Kobayashi.

