Aaron-Wooi Yik semakin hampir tamatkan kemarau kejuaraan Malaysia

Aaron-Wooi Yik semakin hampir tamatkan kemarau kejuaraan Malaysia

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 10,000 penyokong bangkit bersorak, kegembiraan di Axiata Arena apabila beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, sekali gus membuka laluan menamatkan kemarau gelaran negara sejak 2018.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung penuh mendebarkan, gandingan ranking kedua dunia itu menewaskan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, yang menghuni ranking keenam dunia, 23-21, 21-18 dalam perlawanan selama 50 minit.

Set kedua menyaksikan perlawanan berlangsung mendebarkan apabila Aaron-Wooi Yik ketinggalan 8-11 sebelum bangkit mengejar 10-11 dan seterusnya mengikat kedudukan 12-12.

Momentum itu menjadi pemangkin apabila mereka terus menguasai perlawanan dengan mendahului 17-13 sebelum menoktahkan kemenangan 21-18, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.

Kejayaan itu mengesahkan kemaraan Aaron-Wooi Yik ke perlawanan akhir buat kali pertama selepas tujuh tahun, selain memperbaiki pencapaian tertinggi mereka di Terbuka Malaysia yang sebelum ini sekadar mara ke separuh akhir pada edisi 2022.

Berdasarkan rekod pertemuan, kemenangan itu merapatkan jurang pertemuan kepada dua sama ke atas Fajar-Shohibul, selepas sebelum ini tewas di Terbuka Perancis dan Terbuka China, namun bangkit menang pada pertemuan terakhir di Jelajah Dunia Akhir menerusi pertarungan tiga set.

Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara menjulang gelaran kejohanan bertaraf Super 1000 itu adalah menerusi gandingan Goh V Shem–Lim Khim Wah pada edisi 2014, manakala gelaran terakhir Malaysia secara keseluruhan dimenangi pada 2018 oleh Datuk Seri Lee Chong Wei.

Di pentas final, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, yang menewaskan beregu England, Ben Lane–Sean Vendy, 8-21, 21-11, 21-18 pada satu lagi aksi separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top