‘Abang Viva’ muncul di Baling bantu mangsa banjir

BALING –  Sukarelawan yang terkenal dengan jolokan ‘Abang Viva’ atau Azwan Omar sudah tiba di Kampung Iboi di sini bagi misi membantu mangsa banjir di Mukim Kupang yang dilaporkan terjejas akibat fenomena kepala air.

Bagaimanapun, hasratnya terbantut susulan air sudah mula surut sebaik dia dan tiga lagi rakannya tiba di kampung tersebut pukul 5.30 pagi tadi.

Menurut Azwan, mereka berempat bertolak dari Melaka pada pukul 11 malam namun perjalanan yang memakan masa lama menyebabkan mereka tiba awal pagi.

Azwan.

“Niat datang sini memang untuk bantu keluarkan mangsa banjir yang terperangkap namun sebaik tiba situasinya lain. Air sudah surut malah semua penduduk yang berisiko telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sehubungan itu, saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk membantu penduduk membersihkan rumah mereka yang terkesan akibat banjir lumpur itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Iboi di sini hari ini.

Tambah Azwan, mereka akan tinggal di Mukim Kupang sehingga esok memandangkan Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat akan berlaku petang ini.

“Kita tengok keadaan sehingga esok macam mana untuk kami buat keputusan bila perlu pulang semula ke Melaka,” ujarnya.

Azwan mula mendapat perhatian ketika menjalankan khidmat sukarelawannya membantu mangsa banjir di Selangor pada Disember lalu.

Kisah Azwan mendapat perhatian rakyat Malaysia berikutan sanggup bergerak dari Melaka bagi membantu mangsa banjir di Selangor menggunakan Perodua Viva dan sebuah bot yang dibawa di atas bumbung keretanya dan hanya berbekalkan RM50 dengan RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta dan RM30 bagi membeli makanan untuk mengalas perut.

Kegigihannya itu, menarik perhatian seorang usahawan kosmetik, Wan Siti Aisyah Wan Hasan tampil menyumbang sebuah pikap Mitsubishi Triton bagi membantu lelaki terbabit dalam kerja-kerja sukarelanya. – MalaysiaGazette