Anggota polis muslim disaran tunai zakat pendapatan – Arjunaidi

SHAH ALAM – Anggota polis beragama Islam di Selangor disaran menunaikan zakat pendapatan dan sebelum itu perlu membuat taksiran bagi mengetahui kadar sebenar yang perlu mereka bayar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kadar taksiran itu amat penting bagi mengetahui jumlah sebenar zakat yang perlu ditunaikan setiap anggota berdasarkan kadar pendapatan bulanan masing-masing.

“Zakat merupakan satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan dan pada saya, kesedaran untuk menunaikan zakat ini amat penting.

Anggota polis mendengar penerangan dari pegawai Lembaga Zakat Selangor selepas Perasmian Pelancaran Jelajah PDRM Selangor sempena bulan Taksir Zakat 2022M / 1443H di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 JULAI 2022.

“Zakat bukan sahaja meliputi kepada zakat fitrah malah ada banyak kategori zakat seperti zakat harta, zakat pendapatan dan sebagainya.

“Mengikut pertambahan pendapatan, kadar pengiraan untuk menentukan bayaran jumlah sebenar zakat amat penting dan adalah menjadi kewajipan kita untuk menunaikan sekaligus memastikan setiap rezeki yang diperoleh itu membawa kepada keberkatan.

“Lagi pun zakat yang ditunaikan itu akan membantu golongan yang memerlukan khususnya fakir miskin,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jelajah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor sempena Bulan Taksir Zakat 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Kata Arjunaidi, jelajah itu bermula pada 20 Jun lalu sehingga 21 Julai ini melibatkan semua Ibu pejabat polis daerah di negeri itu dan seramai 317 peserta dari tujuh ibupejabat polis daerah (IPD) telah terlibat.

“Jelajah ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan rukun Islam keempat itu sebagai salah satu jalan penyucian harta dan jiwa serta mengeratkan hubungan ukhwah.

“Selain itu kaunter bayaran zakat ini dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor akan turun di peringkat IPD di negeri untuk menyalurkan pentingnya menyemak semula bayaran zakat sebenar mengikut pendapatan semasa,” katanya.

Menurutnya, program ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh warga polis Selangor.

“Jadi dengan adanya taksiran ini, ia akan membantu mereka menentukan nilai sebenar kadar zakat yang perlu ditunaikan, jadi saranan saya gunakan peluang yang ada ini sebaiknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette