hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kajang: Polis sedang mengesan waris kepada seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di tepi Lebuhraya Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK) berhadapan AEON Cheras Selatan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan kanak-kanak terbabit pada 4.30 petang, semalam.
Katanya, pihaknya tidak menemui sebarang maklumat identiti kanak-kanak berkenaan kerana dia tidak boleh bercakap namun kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik.
“Kanak-kanak itu dianggarkan berusia lapan tahun dan berketinggian 120 sentimeter (cm) dengan berat 30 kilogram (kg).
“Ketika ditemui dia memakai baju T-shirt berwarna hitam putih dan berseluar kelabu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan identiti atau waris kanak-kanak berkenaan boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan B Karunagaran di talian 012-2449414,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




