Abdul Azeez cabar pembatalan penyelesaian cukai RM4.8 juta

Abdul Azeez cabar pembatalan penyelesaian cukai RM4.8 juta

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon kebenaran Mahkamah Tinggi di sini, hari ini untuk mencabar keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatalkan perjanjian penyelesaian cukai bernilai RM4.8 juta yang didakwanya sudah dilunaskan sepenuhnya.

Permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 6 September lalu itu bertujuan mencabar keputusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) membatalkan secara sepihak perjanjian penyelesaian bertarikh 9 Februari 2022 membabitkan taksiran cukai bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2020.

Abdul Azeez, 60, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling menamakan KPHDN sebagai responden tunggal selain memohon perintah mahkamah supaya LHDN mematuhi perjanjian penyelesaian cukai berkenaan.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat media, LHDN menjalankan siasatan cukai terhadap Abdul Azeez antara pertengahan 2018 hingga awal 2022 sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan penyelesaian mengikut Seksyen 96A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menerusi perjanjian bertarikh 9 Februari 2022 itu, jumlah cukai dan penalti bagi tempoh 10 tahun ditetapkan sebanyak RM4.8 juta, merangkumi RM4.17 juta cukai serta penalti RM626,086.90.

Bayaran berkenaan dipersetujui untuk dijelaskan secara ansuran bulanan menggunakan 25 keping cek, dengan Abdul Azeez mendakwa semua bayaran sudah diselesaikan mengikut terma perjanjian.

Bagaimanapun, menerusi surat bertarikh 7 Ogos lalu, LHDN memaklumkan bahawa perjanjian penyelesaian dan notis taksiran komposit berkenaan dibatalkan susulan penemuan fakta serta pendapatan baharu yang tidak diambil kira ketika perjanjian dimeterai.

LHDN turut memaklumkan bahawa pengiraan cukai baharu akan dikeluarkan, namun jumlah liabiliti cukai yang mungkin dikenakan belum dinyatakan.

Susulan pembatalan itu, LHDN mengeluarkan notis mengikut Seksyen 78 hingga 81 Akta Cukai Pendapatan 1967, selain notis di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan menghendaki Abdul Azeez hadir memberikan maklumat serta mengemukakan penyata perbelanjaan peribadi dan kedudukan modalnya bagi membantu siasatan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Nicholas Mark Pereira yang mewakili Abdul Azeez berhujah, keputusan membatalkan perjanjian itu boleh dicabar kerana Seksyen 96A(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa taksiran komposit adalah muktamad dan konklusif.

Beliau menegaskan, anak guamnya sudah memenuhi semua tanggungjawab pembayaran seperti dipersetujui, namun LHDN membatalkan perjanjian berkenaan tanpa memberikan penjelasan terperinci mengenai fakta baharu yang didakwa ditemui.

“Anak guam kami sudah menjelaskan keseluruhan RM4.8 juta seperti dipersetujui, namun perjanjian itu dibatalkan tanpa penjelasan terperinci mengenai fakta baharu yang dikatakan ditemui oleh LHDN.

“Sehubungan itu, pihak pemohon turut memohon perintah penangguhan sementara bagi menghalang LHDN daripada meneruskan tindakan penyiasatan atau penguatkuasaan berkaitan perkara itu sementara menunggu keputusan semakan kehakiman,” katanya.

Seorang lagi peguam Abdul Azeez, Datuk Amer Hamzah Arshad berhujah bahawa keadaan sedia ada perlu dikekalkan sementara mahkamah menentukan sama ada LHDN mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk membatalkan perjanjian penyelesaian selepas taksiran komposit dipersetujui.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Ng Siew Wee yang mewakili KPHDN membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman itu atas alasan ia difailkan secara pramatang kerana proses siasatan cukai masih berjalan.

Beliau berhujah, surat LHDN bertarikh 7 Ogos lalu yang memaklumkan pembatalan perjanjian berkenaan hanya sebahagian daripada proses siasatan dan belum menghasilkan sebarang taksiran atau liabiliti cukai baharu yang boleh dikuatkuasakan terhadap Abdul Azeez.

“Ia tidak menyebabkan liabiliti cukai atau taksiran baharu yang boleh dikuatkuasakan terhadap pemohon,” katanya.

Ng turut menegaskan bahawa perintah penangguhan tidak boleh diberikan secara sebelah pihak, manakala tindakan menghalang LHDN mendapatkan maklumat bagi tujuan siasatan bercanggah dengan fungsi serta tanggungjawab agensi berkanun itu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim S Indra Nehru menetapkan 11 November ini bagi keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top