am@hmetro.com.my
Pontian: “Bila tiba di lokasi, saya nampak ada yang terbaring tepi semak. Abang mereka pula memang parah,” kata Norimah Khamis, 40, ibu saudara kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Siraj, di sini, pagi tadi.
Norimah berkata, dia antara individu terawal tiba di lokasi selepas dimaklumkan tiga beradik itu, Nor Daniel Aiman Norlizan, 18, Nor Daniel Fikri, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, terbabit dalam kemalangan itu.
“Adik saya telefon dan beritahu Echa (Puteri Naufal Raisya) sudah tiada, manakala abang dia (Nor Daniel Aiman) pula kritikal.
“Saya terus ke lokasi yang dimaklumkan dan apabila tiba, saya nampak seorang di sana, seorang lagi di sini (atas jalan). Mereka mungkin tercampak.
“Tidak lama kemudian, barulah saya tahu ketiga-tiga anak saudara saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pontian, di sini, hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka adalah ceria, pendiam dan gemar bermain bersama rakan berhampiran rumah.
“Hati saya terlalu sedih apabila melihat keadaan mereka pada ketika itu. Saya tidak mampu berkata-kata,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Norlizan Khamis, 43, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 7 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Ketika kejadian saya masih di rumah dan belum ke tempat kerja. Bapa mentua beritahu anak kemalangan,” katanya.
Dalam pada itu, EXCO Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Muhammad menafikan dakwaan tular bahawa tiga beradik terbabit tidak mengetahui sekolah ditutup susulan keadaan jerebu.
Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan oleh ibu mangsa kepada ketiga-tiga beradik berkenaan.
“Pihak keluarga dan sekolah sudah menjelaskan perkara berkenaan dan mengesahkan mereka sudah dimaklumkan mengenai penutupan sekolah.
“Cuma, anak-anak dalam tahun lima dan tahun dua itu cukup bersemangat untuk ke sekolah walaupun sudah dimaklumkan sekolah ditutup,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pontian.
Muhammad Naqib berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menentukan bagaimana kejadian berlaku.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Johor turut menggerakkan bantuan kaunseling kepada keluarga selain menyediakan sumbangan bagi membantu urusan keluarga mangsa.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Exco Wanita dan Pembangunan Keluarga Johor turut ke rumah keluarga mangsa bagi menyampaikan bantuan.
“Pihak sekolah juga akan melaksanakan kaunseling, terutama kepada adik mangsa yang masih bersekolah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




