Ada hikmah Neelofa diam

puterialia@hmetro.com.my

Usahawan dan selebriti popular, Neelofa memilih untuk tidak terlalu terbuka mengenai kehamilan terbaharunya sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan dan kesihatan kandungannya itu.

Menurut Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 37, keputusan itu dibuat selepas melihat pelbagai situasi yang menimpa wanita lain yang tidak kesampaian melahirkan bayi mereka.

“Saya memilih untuk merahsiakan kehamilan kerana sudah melihat ramai yang tidak dapat menyempurnakan kandungan sehingga hari melahirkan.

“Jadi, kita tidak berani untuk terlalu beria-ria. Memang ada orang yang jenis tidak fikir apa-apa dan dipermudahkan, Alhamdulillah.

“Tetapi, bagi saya langkah berjaga-jaga perlu diambil agar sepanjang menjaga perkara yang ghaib (belum lahir) ini, Allah mengurniakan keselamatan, kesihatan dan kemudahan buat kita.

“Nanti apabila semuanya sudah selamat, kita boleh sama-sama meraikannya dengan berita yang baik. Bagi saya, begitu keadaannya,” katanya.

Ibu dua cahaya mata ini turut meluahkan rasa syukur dan gembira apabila tindakannya yang tidak menayangkan wajah anak di media sosial kini mula diikuti peminat dan pengguna media sosial yang lain.

Menurutnya, kefahaman itu tersebar secara tidak sengaja kepada peminat dan masyarakat hingga mendorong mereka mengikut perkara yang baik.

“Kalau yang baik, Alhamdulillah. Saya lihat sekarang ramai orang sudah mula banyak menutup wajah anak masing-masing.

“Saya rasa mereka semakin faham mengenai bahaya penyakit ain dan ‘evil eye’ (pandangan jahat). Bagi saya, ini adalah satu perkembangan yang sangat positif dalam masyarakat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Neelofa mendedahkan perjalanan perniagaan susu pisang miliknya yang dilancarkan pada November 2019 terpaksa dihentikan pengeluaran pada 2021 berikutan pelbagai cabaran yang dihadapi.

Menurutnya, dia bersama kakaknya, Nabila terpaksa menghadapi situasi sukar sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19 sebelum kembali selepas lima tahun kemudian.

Katanya, pihaknya kini meletakkan kualiti sebagai keutamaan berbanding kuantiti dalam memacu strategi perniagaan terbaharu mereka.

“Fokus utama kami adalah memberikan nafas baharu kepada barangan yang sedia ada agar lebih relevan dengan kehendak pasaran semasa.

“Produk yang sama, kami ‘polish’ jadi nampak lebih moden, lebih minimalis, tetapi kami punya ‘target market’ yang lebih luas (sama ada pasaran) tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top