Ratusan cacing dalam saluran hempedu undang komplikasi

asyikin.mat@hmetro.com.my

‘OPISTHORCHIASIS’ ialah penyakit yang disebabkan jangkitan cacing pipih (trematoda) daripada genus ‘Opisthorchis’, terutama spesies ‘Opisthorchis viverrini’.

Parasit ini banyak ditemukan di negara sub-Mekong seperti Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam dan Myanmar.

Manakala spesies ‘Opisthorchis felineus’ pula lebih tertumpu di Eropah Timur serta sebahagian Russia.

Cacing ini turut menjangkiti kucing, anjing dan haiwan mamalia lain yang memakan ikan air tawar mentah, menjadikan haiwan itu sebagai hos takungan (reservoir host) penting dalam kitaran jangkitan.

Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Zulkarnain Md Idris berkata, berbeza daripada kebanyakan jangkitan parasit lain yang menyebabkan gejala akut dan segera, ‘opisthorchiasis’ sering kali bersifat kronik dan senyap.

Menurutnya, individu boleh membawa ratusan cacing dewasa dalam saluran hempedu mereka selama bertahun tanpa menyedari sebarang gejala yang ketara, sehingga komplikasi serius seperti keradangan hempedu kronik atau malah barah saluran hempedu (cholangiocarcinoma:CCA) muncul.

“Realiti ‘opisthorchiasis’ adalah sejenis jangkitan parasit yang jarang mendapat liputan meluas berbanding penyakit berjangkit lain seperti denggi atau malaria.

“Namun, kesannya terhadap kesihatan awam di rantau Asia Tenggara dan sekitarnya, termasuk risiko kepada rakyat Malaysia yang kerap melancong atau berulang-alik ke rantau berkenaan, tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Beliau berkata, kitaran hidup ‘opisthorchis’ agak kompleks dan membabitkan sekurang-kurangnya tiga hos berbeza.

Ia bermula apabila telur cacing dikeluarkan bersama najis manusia atau haiwan yang dijangkiti, lalu memasuki sistem air.

“Telur ini kemudian dimakan siput air tawar tertentu, yang mana ia berkembang melalui beberapa peringkat larva.

“Larva sudah matang kemudian dibebaskan dalam air dan menjangkiti ikan air tawar berkeluarga ‘Cyprinidae’ seperti ikan kap dan pelbagai spesies ikan tempatan yang biasa dimakan dengan membentuk sista dalam otot ikan berkenaan.

“Manusia dijangkiti apabila memakan ikan air tawar mentah, separuh masak atau diproses secara tradisional yang tidak memusnahkan larva parasit ini.

“Contoh, hidangan ikan yang difermentasi, diperap dengan garam ringan, dikeringkan sebahagian atau dimakan mentah bersama cili dan limau seperti dalam sesetengah masakan tradisional di sebahagian negara ASEAN.

“Selepas dimakan, larva akan bergerak daripada usus ke saluran hempedu, yang mana ia berkembang menjadi cacing dewasa dan boleh hidup selama 10 hingga 25 tahun, menghasilkan telur berterusan yang dikeluarkan bersama najis, lalu kitaran ini berulang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pernah melakukan kajian menerusi dana penyelidikan GGPM (FF-2018-047) yang diterbitkan dalam jurnal ‘Tropical Biomedicine’ bersama penyelidik di Thailand pada 2021 berkaitan isu terbabit.

“Kajian itu meneliti lebih 2,100 ikan air tawar liar merangkumi 20 spesies berbeza yang diperoleh daripada pasaran tempatan di wilayah timur laut Thailand.

“Kajian ini mendapati, hanya enam daripada 20 spesies ikan disahkan membawa ‘metaserkaria O. viverrini’, iaitu parasit peringkat larva berjangkit yang bersarang dalam otot ikan.

“Antara spesies yang paling kerap dan paling tinggi tahap jangkitannya ialah ikan sebarau (Hampala dispar), diikuti oleh beberapa spesies lain seperti ikan kap (Henicorhynchus lineatus), ikan sia (Mystacoleucus marginatus), ikan terbul (Osteochilus vittatus) dan ikan loma (Thynnichthys thynnoides).

“Kajian yang sama turut mendapati tahap jangkitan dalam ikan boleh berbeza mengikut musim dan lokasi geografi, dengan intensiti tertinggi dikesan pada musim panas di sesetengah daerah,” katanya.

Dr Zulkarnain berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jutaan manusia di seluruh dunia dianggarkan menghidapi jangkitan cacing hati (liver fluke), berpunca parasit daripada keluarga ‘Opisthorchiidae’ dan ‘Fasciolidae’, dengan kawasan paling terjejas ialah lembangan Sungai Mekong.

Jelasnya, perkara membimbangkan pakar kesihatan bukan sahaja bilangan kes jangkitan, tetapi hubungan yang terbukti secara saintifik antara jangkitan kronik O. viverrini dengan barah saluran hempedu.

“Malah, Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) di bawah WHO mengklasifikasikan parasit O. viverrini sebagai salah satu karsinogen Kumpulan 1, iaitu kategori tertinggi bagi bahan atau ejen yang disahkan menyebabkan barah pada manusia, setanding dengan asbestos dan asap rokok daripada segi tahap bukti saintifik.

“Wilayah timur laut Thailand (wilayah Isan) mencatatkan salah satu kadar barah saluran hempedu tertinggi di dunia dan penyelidikan mengaitkan fenomena ini secara langsung dengan tabiat pemakanan penduduk tempatan yang gemar hidangan ikan air tawar mentah, terutama hidangan tradisional Koi pla.

“Bagi rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, walaupun ‘opisthorchiasis’ bukan penyakit endemik utama seperti di Thailand, risiko tetap wujud memandangkan tabiat pemakanan sebahagian masyarakat yang gemar hidangan ikan air tawar separuh masak atau mentah,” katanya.

Kata Dr Zulkarnain lagi, antara cabaran terbesar dalam mengesan ‘opisthorchiasis’ ialah sifatnya yang sering tidak menunjukkan gejala, terutama pada peringkat awal jangkitan atau apabila bilangan cacing dalam badan masih rendah.

“Ramai pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda sehingga jangkitan berlarutan bertahun-tahun lamanya.

“Bagaimanapun, sebahagian individu, terutama mereka yang menerima jangkitan dalam kuantiti besar dalam satu-satu masa (contohnya selepas menikmati hidangan ikan mentah dalam kenduri atau perjumpaan sosial), mereka boleh mengalami gejala fasa akut dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu selepas jangkitan berlaku.

“Ini berlaku semasa larva parasit bermigrasi dari usus menuju saluran hempedu dan mula matang menjadi cacing dewasa.

“Antara tanda awal jangkitan akut yang perlu diberi perhatian termasuk demam secara mengejut, ada kalanya disertai menggigil.

“Tanda awal lain ialah sakit perut akut di bahagian atas kanan, berhampiran kawasan hati, yang boleh menyerupai gejala apendisitis atau masalah pundi hempedu.

“Seterusnya, cirit-birit atau gangguan perut yang mendadak, loya, muntah serta keletihan,” katanya.

Dr Zulkarnain berkata, gejala fasa akut ini selalunya reda dengan sendirinya dalam tempoh beberapa minggu walaupun tanpa rawatan, lantas sering disalahtafsirkan sebagai demam biasa, gastroenteritis, atau alahan makanan.

Info:

A- Bagaimana diagnosis opisthorchiasis dilakukan?

i- Melalui pemeriksaan mikroskopik sampel najis

– Untuk mengesan kehadiran telur cacing seperti kaedah yang dikenali sebagai teknik ‘Kato-Katz’ atau teknik pemekatan formalin-eter.

ii- Kaedah tambahan bagi kes lebih kompleks

– Ujian serologi (ELISA) untuk mengesan antibodi terhadap parasit.

– Teknik molekular berasaskan PCR yang lebih sensitif dan spesifik.

– Pengimejan seperti ultrasound abdomen, imbasan CT atau Kolangiopankreatografi Resonans Magnetik (MRCP).

B- Rawatan dan prognosis:

i- Boleh dirawat dengan

berkesan menggunakan ubat antihelmintik.

– Diberikan dalam dos tunggal atau beberapa dos kecil dalam tempoh sehari.

– Kadar kesembuhan boleh mencecah lebih 90 peratus bagi kebanyakan kes.

C- Langkah pencegahan:

Elakkan memakan ikan air tawar mentah atau separuh masak.

ii- Berhati-hati dengan kaedah pemprosesan tradisional untuk ikan air tawar.

iii- Amalan kebersihan sanitasi yang baik.

iv- Kawalan terhadap haiwan peliharaan dan haiwan liar.

v- Pendidikan kesihatan komuniti.

vi- Saringan berkala bagi golongan berisiko tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top