Korban banjir Nepal meningkat, hampir 3,000 masih hilang

KATHMANDU: Pasukan penyelamat Nepal dan China semalam meneruskan usaha mencari hampir 3,000 mangsa yang masing hilang selepas banjir lumpur seperti tsunami melanda kawasan Himalaya sehingga memusnahkan seluruh penempatan.

Setakat semalam, sekurang-kurangnya 633 mayat ditemukan, dengan sebahagian mangsa yang maut dipercayai dihanyutkan hingga ke India.

Di kawasan yang menempatkan pelbagai projek infrastruktur tenaga, pihak berkuasa bencana Nepal menambah 933 pekerja hidroelektrik dalam senarai orang hilang.

Turut dilaporkan hilang adalah 517 warga asing, termasuk pendaki dan kumpulan penganut Hindu yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), bencana yang berlaku pada Rabu lalu di sempadan Nepal-Tibet itu didakwa berpunca daripada runtuhan glasier yang menghasilkan aliran deras, lumpur dan serpihan ke kawasan hilir.

Chitwan dan Nawalparasi Timur antara kawasan paling teruk terjejas manakala puluhan mangsa turut ditemui di Gorkha, Dhading dan Nuwakot susulan limpahan air sungai Bhotekoshi dan Trishuli, aliran utama yang berpunca daripada banjaran Himalaya.

Usaha mencari mangsa bagaimanapun berdepan cabaran apabila kawasan terjejas dipenuhi lumpur tebal yang menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat.

Anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Nepal, Kawan Koirala, berkata mereka bergelut meredah lumpur bagi mencari mangsa yang masih hilang.

“Orang ramai mahu mengetahui nasib ahli keluarga mereka, sama ada hidup atau meninggal dunia, tetapi keadaan kami menyukarkan untuk menemukan mereka,” katanya kepada AFP.

Palang Merah berkata, bencana itu meninggalkan trauma besar kepada penduduk, dengan sehingga 93,000 orang dipercayai terjejas, manakala jumlah korban dijangka terus meningkat.

Kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku banjir susulan turut menyukarkan usaha mencari mangsa yang hilang.- AFP

 

Scroll to Top