Ada yang bergaji besar tapi dibayar dengan tekanan, hilang makna hidup – Fedtri Yahya

Ada yang bergaji besar tapi dibayar dengan tekanan, hilang makna hidup – Fedtri Yahya

Pengacara dan personaliti televisyen terkenal, Fedtri Yahya tampil memberikan pandangan berkenaan persoalan yang dibangkitkan seorang pengguna Threads mengenai mengapa ada pelajar yang cemerlang ketika belajar akhirnya tidak memiliki pekerjaan atau kerjaya yang dianggap hebat.

Menurut Fedtri, masyarakat sering kali terlalu cepat mentakrifkan kejayaan hanya berdasarkan jumlah gaji, jawatan atau status pekerjaan seseorang, sedangkan hakikat kehidupan jauh lebih luas daripada ukuran tersebut.

“Mungkin masalahnya apabila kita terlalu cepat mentakrifkan ‘berjaya’ hanya melalui gaji, jawatan atau status kerja. Sedangkan hidup ini sebenarnya jauh lebih luas daripada itu,” ciapannya, semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat individu yang memperoleh pendapatan sederhana namun menjalani kehidupan yang tenang, memiliki keluarga bahagia, menjaga adab, dikurniakan kesihatan yang baik serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ada yang bergaji sederhana tetapi hidupnya tenang, keluarganya bahagia, adabnya terpelihara, kesihatannya baik dan memberi manfaat kepada ramai orang. Ada juga yang bergaji besar tetapi dibayar dengan tekanan, kesunyian dan kehilangan makna hidup.
“Kejayaan bukan satu garis penamat yang sama untuk semua orang,” kongsinya.

Dalam masa sama, Fedtri menegaskan bahawa gaji dan pangkat hanyalah sebahagian daripada rezeki, bukannya penentu keseluruhan nilai seseorang insan.

“Gaji dan pangkat hanyalah sebahagian daripada rezeki, bukan keseluruhan nilai seorang manusia.
“Setiap orang pastinya ada corak hidup yang ingin diwarnai dan tak perlu terikat dengan pandangan dan penilaian manusia lain,” tambahnya lagi.

Perkongsian tersebut menerima perhatian ramai warga maya yang bersetuju bahawa definisi kejayaan seharusnya tidak diukur semata-mata berdasarkan pencapaian kerjaya, sebaliknya turut merangkumi kebahagiaan, ketenangan dan keseimbangan hidup.

Artikel lain: Ibu bukan bibik dibalut atas nama nenek demi mudahkan hidup anak – Fedtri Yahya

Sebelum ini, Fedtri pernah memberi nasihat bahawa peranan seorang ibu tidak seharusnya disalah guna demi memudahkan urusan anak-anak yang enggan belajar berdikari.

Teguran tegas itu ditujuakan kepada sikap sesetengah anak yang terlalu bergantung kepada ibu bapa, khususnya golongan warga emas yang sudah sepatutnya menikmati usia tua dengan tenang.

Sumber: Threads fedtriyahya

Scroll to Top