georgie@hmetro.com.my
Hampir RM4 juta dibelanjakan pengarah, pelakon dan penerbit Julian Cheah bagi menghasilkan filem terbaharunya, Killmaster, selepas dia menerbit serta mengarahkan lebih 30 filem sebelum ini.
Pulau eksotik Ibiza di Sepanyol dipilih menjadi lokasi utama penggambaran filem bertemakan perisik ini. Filem itu turut menyaksikan penampilan istimewa seorang pelakon dari Chile, Monica De Caro.
“Saya berbelanja tidak lebih dari RM4 juta kerana pada masa sekarang, purata filem Malaysia menelan belanja sekitar RM8 juta, jika tak silap saya ia adalah belanja untuk menghasilkan filem seperti Blood Brothers, Polis Evo dan sebagainya.
“Jadi, jika filem saya menelan belanja di bawah RM4 juta, ia dikira kecil. Antara kos yang menelan banyak belanja adalah penggambaran di Sepanyol, kerana kita perlu membayar penerbangan, tempat tinggal, makan dan sebagainya.
“Dengan menggunakan lokasi di luar negara, saya berharap filem saya dapat dijual ke Amerika kerana ia juga menggunakan bahasa Inggeris, jadi kami berharap ia dapat dijual di pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurut Julian, Killmaster dihasilkan dengan tujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan filem James Bond. Ia juga diilhamkan daripada keanggunan filem klasik seperti To Catch a Thief.
Bagaimanapun, sebagai pemilik Julian Cheah Pictures, dia mengakui filem aksi yang dihasilkannya tidak setanding dengan sentuhan pengarah hebat tanah air yang lain.
“Saya mengaku, aksi saya tidak boleh mencapai sentuhan yang dibuat oleh pengarah seperti Syamsul Yusof atau Syafiq Yusof. Standard aksi saya juga tidak boleh melawan aksi dalam Blood Brothers dan Polis Evo.
“Saya pilih Ibiza kerana keindahan alam semula jadinya selain terkenal sebagai destinasi pelancongan glamor. Identiti saya adalah glamor, bukan aksi. Saya tidak mahu penggambaran di lorong atau kelab malam.
“Saya mahu mengembalikan pesona glamor filem Bond era 70-an seperti The Spy Who Loved Me, Moonraker dan For Your Eyes Only,” jelasnya.
Bagi dia, Killmaster adalah sebuah filem yang meraikan keindahan Sepanyol di samping memaparkan elemen glamor dalam dunia sinematik.
Julian Cheah, yang juga adalah pengarah dan penerbit Killmaster, mendedahkan bahawa karya terbaharunya itu sudah melepasi saringan penuh Lembaga Penapis Filem (LPF).
Kelulusan itu diberikan tanpa sebarang potongan walaupun filem itu menampilkan beberapa babak intim, dan diberi klasifikasi P16 untuk penonton berusia 16 tahun ke atas.
“Killmaster diluluskan 100 peratus tanpa sebarang potongan. Walaupun ada adegan intim, pihak LPF sudah meneliti dan meluluskan sepenuhnya,” katanya.
Killmaster mengisahkan perjalanan ejen rahsia Alex Wong, dan menemui penonton di pawagam tempatan mulai 25 September dengan barisan pelakon seperti Himanshu Bhatt, Jayaram Menon dan Zack Aminuddin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




